KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar
Jamaluddin hari ini memfailkan saman fitnah berjumlah RM100 juta
terhadap Utusan Melayu (M) Berhad dan Sistem Televisyen Malaysia Berhad
(TV3) kerana menerbitkan pernyataan fitnah berhubung pembelian nombor
plat kenderaan WWW 1 yang dibida pada harga RM520,000.
Mohammad Nizar memfailkan dua saman itu secara berasingan di pejabat
pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil, di sini melalui Tetuan Awi & Co.
Dalam pernyataan tuntutannya beliau menamakan Utusan Melayu dan TV3
sebagai defendan dan menuntut ganti rugi sebanyak RM50 juta daripada
setiap defendan.
Katanya beliau telah mengeluarkan satu kenyataan melalui akaun
Twitter miliknya pada 28 Mei lalu berhubung nombor plat itu.
Mohammad Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir
Panjang mendakwa pada 30 Mei lalu, TV3 telah mengeluarkan berita melalui
Buletin Utama jam 8 malam, berhubung kenyataannya itu.
Beliau berkata keesokannya pada 31 Mei, Utusan Melayu menerbitkan
satu artikel di halaman 11, akhbar Utusan Malaysia berhubung
kenyataannya itu.
Mohammad Nizar mendakwa pernyataan ftnah itu antara lain membawa
maksud bahawa beliau adalah seorang penderhaka kepada sultan amnya, dan
Sultan Johor khususnya, beliau adalah ahli politik yang anti-sultan dan
seorang ahli politik yang cuba menghasut rakyat untuk membenci Sultan
Johor.
Bercakap kepada pemberita selepas memfailkan writ saman itu,
Mohammad Nizar berkata pihaknya akan menyerahkan writ itu kepada
kedua-dua defendan.
Beliau berkata sebanyak 41 laporan polis telah dibuat berhubung
kenyataannya dalam twitternya itu dan siasatan polis berhubung perkara
itu masih lagi berjalan. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment