KUALA LUMPUR: Pengguna laman rangkaian sosial seperti Facebook dan
Twitter boleh menyangkal anggapan fakta bahawa mereka adalah pemilik,
hos, pentadbir, editor atau sub-editor untuk penyiaran fakta berunsur
fitnah melalui internet dengan menunjukkan bukti sebaliknya, kata
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong hari
ini.
Beliau berkata, Seksyen 114A Akta Keterangan (Pindaan) 1950 mengenai
anggapan fakta dalam penyiaran membolehkan mahkamah membuat suatu
anggapan fakta dalam perbicaraan kes yang membabitkan penyiaran melalui
internet selepas mahkamah berpuas hati bahawa wujud suatu fakta dan
bukti yang jelas.
Katanya, dalam keadaan ini, walaupun mahkamah sudah memutuskan untuk
menggunakan anggapan tersebut, tertuduh masih boleh menyangkal anggapan
itu dengan menunjukkan bukti sebaliknya.
"Sebagai contoh, seseorang yang tidak dikenali mencuri kata laluan
pemilik Facebook atau Twitter itu dan menyiarkan kata-kata yang
bersifat fitnah serta menjatuhkan maruah seseorang yang disegani
masyarakat.
"Pada masa penyiaran itu dibuat, pemilik (akaun) Twitter atau
Facebook yang berkenaan telah kehilangan komputer ribanya yang
mengandungi kata laluan yang disimpan di dalam komputer riba itu, maka
pemilik (akaun) Twitter atau Facebook boleh mengemukakan fakta
sedemikian bagi membuktikan beliau bukanlah orang yang menyiarkan
kata-kata bersifat fitnah itu," katanya.
Liew berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Senator Khoo
Soo Seang mengenai bagaimana pindaan kepada Akta Keterangan 1950 akan
berfungsi berkenaan dengan media sosial dan adakah perkongsian berita
melalui saluran media ini menjadikan pengguna tersebut bertanggungjawab
di bawah akta berkenaan.
Akta Keterangan (Pindaan) 1950 berkuatkuasa pada 1 Jun lalu. Selari
dengan kemajuan internet, selepas kewujudan laman rangkaian sosial
seperti Facebook dan Twitter, akta ini dilihat dapat membendung gejala
buruk seperti penyebaran fitnah dan hasutan berleluasa di internet.
Liew menjelaskan apabila komputer pemilik akaun Facebook atau
Twitter digodam oleh penggodam komputer dan kata laluan pemiliknya
dicuri, maka sebarang penyiaran maklumat yang dibuat oleh penggodam itu
boleh dijadikan bukti bagi mematahkan anggapan fakta dalam penyiaran
tersebut.
Dalam konteks perkongsian berita melalui saluran media ini pula,
beliau berkata seseorang pemilik atau pengguna Facebook atau Twitter
tidak akan dipertanggungjawabkan dengan sebarang ulasan atau komen yang
dibuat oleh orang lain yang dihantar ke dalam akaunnya semata-mata
sebagai satu perkongsian berita atau maklumat kerana anggapan fakta
dalam penyiaran seperti yang diperuntukkan dalam sekysen 114A tidak akan
terpakai dalam keadaan yang sedemikian.
"Sekiranya pengguna atau pemilik (akaun) Facebook atau Twitter pula
menyebarkan berita atau maklumat berbentuk subversif dan menghasut
rakyat untuk mengguling kerajaan dengan menggunakan kekerasan, pemilik
berkenaan boleh dipertanggungjawabkan dengan penyiaran berita atau
maklumat sedemikian," katanya.
Sehubungan itu, Liew berkata para pengguna media sosial perlu
mempunyai obligasi moral untuk menyekat atau menapis sebarang
perkongsian berita atau maklumat yang berbentuk fitnah dan melibatkan
unsur-unsur keganasan dan kekerasan.
Kepada soalan tambahan daripada Senator Datuk Abdul Rahman Bakar,
Liew berkata buat masa sekarang, kerajaan belum lagi merekodkan
statistik tentang jumlah pengguna Facebook atau Twitter yang ditahan
kerana menyiarkan berita-berita berbaur fitnah dan perkauman kerana Akta
Keterangan (Pindaan) 1950 baru dilaksanakan Jun lalu. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment