KUANTAN: Suasana yang biasanya sepi di perkampungan nelayan Kampung
Kempadang dekat sini bertukar menjadi riuh hari ini apabila sekumpulan
nelayan berjaya menaikkan hasil tangkapan ikan kembung seberat 420
kilogram (kg).
Tiga daripada nelayan berkenaan tidak menyangka
hasil tangkapan begitu banyak kerana sebelum ini memperoleh tangkapan
antara 30 hingga 50 kg sahaja pada hari biasa.
"Kami terkejut menaikkan seberat itu hasil tangkapan dalam masa
satu jam berbanding pulangan hanya sekitar 30 hingga 50 kg sehari di
hari biasa," kata Omar Baru, 54, ketika ditemui pemberita di pangkalan
jeti nelayan.
Penduduk kampung dan orang luar tidak ketinggalan berkumpul di
kawasan tempat nelayan berkenaan menaikkan ikan untuk membeli ikan
kembung dengan harga lebih murah iaitu RM10 sekilogram berbanding RM12
di pasar basah sekitar bandar Kuantan.
Dua nelayan muda yang juga
adik beradik, Mohd Hafizan Abdul Jalil, 22, dan Ahmad Firdaus Abdul
Jalil, 18, begitu teruja dan tidak menyangka rezeki yang diterima dan
menganggapnya satu rahmat kerana belum pernah memperoleh tangkapan 300
kg sebelum ini.
Ahmad Firdaus berkata, beliau bersama abangnya
turun ke laut jam 6.30 pagi dengan memandu bot sejauh 12 kilometer dari
pesisir pantai kampung sebelum melabuhkan pukat.
"Selepas satu
jam kami menarik naik pukat dan terkejut melihat begitu banyak
tangkapan. Kami melepaskan pukat sebanyak dua kali sahaja dan begitu
teruja dengan jumlah tangkapan," katanya.
Katanya, sebelum ini mereka hanya balik ke pantai pada lewat
petang dengan membawa hasil tangkapan yang tidak seberapa. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment