PUTRAJAYA: Suspek wanita yang ditembak selepas mengamuk di luar
perkarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri bersama seorang lelaki
semalam, menitipkan dua anak kecilnya di rumah ibu bapanya di Damansara
dekat sini, dua hari lalu.
Bapa suspek, seorang penjual nasi lemak berumur 55 tahun, berkata
suspek meminta mereka menjaga anak-anaknya berusia dua tahun dan setahun
dan mereka menyangka dia mempunyai urusan kerja di luar kawasan.
Beliau berkata, setahunya suspek, anak kedua dari empat beradik, bekerja
sebagai penolong pengurus sebuah syarikat swasta tetapi rupa-rupanya
sudah berhenti kerja tanpa pengetahuan mereka.
"Saya tidak menyangka kejadian itu berlaku. Kehidupan anak saya
normal sahaja. Mungkin kerana dia suka melayan internet. Sekolah tinggi
tetapi jadi macam itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di
Hospital Putrajaya di sini hari ini.
"Saya kesal dengan apa yang dia buat," katanya sambil menambah
beliau mendapat tahu mengenai kejadian itu apabila diminta datang ke Ibu
Pejabat Polis Daerah Putrajaya selepas mendail nombor telefon bimbit
anaknya itu.
Dalam kejadian 2.30 petang semalam, suspek, berusia lewat dua
puluhan, berkelulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, ditembak
di paha kanan dan masih dirawat di Hospital Putrajaya, manakala lelaki
bersamanya Khalil Afandi, 47, yang terkena tembakan di tangan dan
bahagian ari-ari meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital
sama.
Polis terpaksa melepaskan tembakan apabila usaha memujuk lelaki dan
wanita itu gagal, sebaliknya mereka yang bersenjatakan pedang samurai,
cuba menyerang polis dan merosakkan beberapa kenderaan di kawasan itu.
Wanita terbabit ditahan reman mulai hari ini untuk siasatan mengikut
Seksyen 307, 427 dan 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan
Hakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Ibu suspek berusia 55 tahun ketika ditemui di perkarangan hospital
itu berkata: "Makcik terkejut. Makcik tak tahu nak cakap apa. Makcik
sedih sangat".
Beliau berkata suspek tinggal di Klang.
Tinjauan di wad pengasingan Hospital Putrajaya mendapati suspek yang
berskaf hitam sedang berbaring di katil dan dikawal dua anggota polis
wanita.
Sementara itu, suami suspek yang juga pemandu lori mendakwa
isterinya terpengaruh dengan laman blog lelaki itu dan beberapa hari
sebelum kejadian isterinya berperangai pelik dan dilihat taksub dengan
Imam Mahadi. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment