KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak menyeru sektor awam dan swasta agar menyediakan peluang pekerjaan
kepada golongan orang kurang upaya (OKU) supaya mereka dapat menjalankan
kehidupan dengan rasa megah dan nilai diri yang tinggi.
Beliau berkata golongan itu perlu diberikan peluang pekerjaan untuk
memajukan diri agar mereka tidak menjadikan kekurangan pada diri untuk
menagih simpati, sebaliknya membuktikan mereka juga mampu bekerja
seperti orang lain dan menyumbang kepada pembangunan negara.
"Pembukaan bilik pameran Faresh Motor adalah bertepatan dengan Gagasan
1Malaysia yang diilhamkan oleh saya, di mana kerajaan sesekali tidak
akan mengenepikan kemampuan dan kebolehan mana-mana bakat rakyat dari
golongan OKU dan sekaligus akan mengoptimumkan potensi mereka.
"Semoga langkah ini akan diikuti oleh badan dan syarikat swasta termasuk
sektor awam supaya sebahagian daripada jawatan di sektor masing-masing
memberi peluang perniagaan dan pekerjaan kepada golongan OKU agar
menjadi warganegara yang berguna dan produktif," katanya dalam ucapan
ketika merasmikan bilik pameran wakil pengedar sah PERODUA yang pertama
dimiliki dan berkonsepkan mesra OKU di Faresh Motor (M) Sdn Bhd di sini.
Turut hadir Pengarah Urusan PERODUA Datuk Aminar Rashid Salleh dan
Pengarah Urusan Faresh Motor (M) Sdn Bhd Ahmad Faresh Ahmad Zahid.
Perdana Menteri berkata kerajaan juga mengamalkan kebajikan produktif
yang bertujuan untuk memberi perhatian kepada golongan OKU dengan
menyediakan peluang perniagaan kepada mereka melalui program Kebajikan
Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) Teman 1Azam OKU.
"Kita lihat bagaimana tokoh-tokoh seperti Professor Stephen Hawking dari
Britain yang menghidapi penyakit 'motor neuron disease' serta hampir
lumpuh seluruh tubuh badan dan hanya mampu berkomunikasi melalui alat
khas, telah memberi sumbangan yang tidak ternilai kepada masyarakat
sejagat.
"Dan di Malaysia sendiri, kita masih ingat akan kejayaan pakar ekonomi
terkemuka Senator Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh yang cacat penglihatan.
Semua ini kita harus menjadikan contoh dan teladan bahawa seorang yang
digelar OKU, tidak bererti tidak boleh menyumbang kepada negara, diri
dan keluarga," kata Najib.
Mengenai pembukaan bilik pameran Faresh Motor, Perdana Menteri
mengucapkan tahniah kepada PERODUA kerana memberi peluang kepada Ahmad
Faresh untuk membuka bilik pameran itu yang berkonsepkan mesra OKU.
"Saya bangga dengan kejayaan dan kesungguhan saudara Faresh sebagai
pengedar PERODUA, dan berpeluang melihat bilik pameran yang dijadikan
contoh kepada masyarakat bagaimana bilik itu boleh diolah dan disediakan
dengan ciri-ciri yang amat diperlukan oleh golongan OKU," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment