KUALA LUMPUR: ‘Janji Ditepati’ dipilih sebagai tema sambutan Hari
Kemerdekaan ke-55 tahun ini yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 31
Ogos.
Sarawak pula akan menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia pada 16 September.
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais
Yatim, berkata bagi perayaan tahun ini, ia akan melibatkan penyertaan
lebih aktif golongan belia dan penyertaan spontan orang ramai.
Perarakan Hari Kemerdekaan akan diadakan di Dataran Merdeka manakala
pada sebelah malamnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan
bersama rakyat di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menyampaikan amanat
merdeka dan amanat Hari Malaysia.
“Pada keseluruhannya saya yakin perayaan Hari Merdeka dan Hari
Malaysia kali ini akan lebih hebat dari dulu, cuma tinggal lagi pada 16
Sept kita akan beralih ke Sarawak untuk meraikan Hari Malaysia dan
jawatankuasa mencadangkan supaya kita bersama-sama pula ke kawasan luar
bandar di Sarawak,” katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat
Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 di sini hari ini,
Rais berkata terdapat cadangan agar Bintulu dijadikan lokasi sambutan
Hari Malaysia, namun ia masih belum diputuskan.
Beliau berkata sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia akan
dimulakan pada 11 Julai anjuran pihak swasta melalui program Buku Rekod
Malaysia.
Pada 15 Julai pula, Kementerian Belia dan Sukan akan melaksanakan
program-program yang berkaitan dengan belia di Menara Kembar Petronas.
Pada 17 Julai, Perdana Menteri akan merasmikan program pengibaran
Jalur Gemilang di Brickfields, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri
Muhyiddin Yassin di Kampung Baru dan pemimpin masyarakat Cina di Jalan
Petaling secara serentak, kata Rais.
Pada bulan Ramadan, program berkaitan tetapi berunsur keagamaan akan
diadakan untuk masyarakat Islam dan beberapa acara untuk kaum lain
turut disusun.
Rais dalam pada itu meminta semua pihak agar mengenepikan perbezaan
fahaman politik bagi menjayakan sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-55
itu.
“Pemimpin masing-masing perlu memainkan peranan dengan sokongan
rakyat supaya Jalur Gemilang dikibarkan di setiap rumah, setiap kedai,
setiap gedung dan pejabat dan ini tidak mengira latar belakang politik
dan pentadbiran masing-masing.
“Kita akan semarakkan seboleh mungkin pengibaran Jalur Gemilang di
kawasann dan premis yang sebelum ini tidak diambil berat dan inilah
masanya untuk kita memperlihatkan kepada dunia bahawa sekali setahun
kita menyumbang ke arah kenegaraan kita dengan mengibarkan Jalur
Gemilang di jendela atau pintu,” katanya.
- BERNAMA
No comments:
Post a Comment