BERA - Seorang bayi berusia lapan bulan bersama
ibu bapanya maut dalam satu kemalangan apabila kereta dinaiki mereka
dirempuh sebuah kereta jenis Honda Accord dari arah bertentangan.
Mangsa, Mohd Solehuddin Jaabar Ismail, 28, Nor Ashikin Ismail, 28 dan
bayi itu, Ahmad Habibi yang berasal dari Felda Sebertak dikatakan dalam
perjalanan pulang ke Bahau setelah menghadiri majlis perkahwinan sahabat mereka.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Zahid Mohd Noor berkata,
kemalangan itu berlaku kirakira jam 5.20 petang kelmarin di Kilometer
14, Jalan Temerloh–Bahau dekat sempadan Bera–Temerloh.
Menurutnya, kereta Honda Accord itu dipercayai dipandu laju sebelum
hilang kawalan hingga terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh
kenderaan mangsa. “Rempuhan kuat itu menyebabkan pemandu Perodua Myvi
(Mohd Solehuddin Jabbar) dan anaknya mengalami kecederaan parah serta
meninggal serta-merta.
“Isteri mangsa pula disahkan meninggal
dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Sultan Haji
Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh berikutan me- ngalami pendarahan yang
teruk,” katanya.
Mohd Solehuddin merupakan pegawai perangkaan
di Jabatan Perangkaan Kuantan, sementara Nor Ashikin pula bekerja di
Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Papan sebagai pembantu tadbir.
Difahamkan, rempuhan kuat itu juga menyebabkan berlaku kebakaran kecil
di bahagian enjin kereta mangsa, namun ia berjaya dikawal anggota bomba.
Mohd Zahid berkata, kereta Honda Accord itu dipercayai memasuki laluan
bertentangan ketika cuba melepasi selekoh di jalan mempunyai garisan
putih berkembar tersebut.
Katanya, pemandu Honda Accord itu, Chong Chun Yong, 33, turut mengalami kecederaan parah dan dirawat di Hoshas.
“Siasatan awal mendapati punca kemalangan disebabkan kecuaian pemandu
Honda Accord yang memandu laju di kawasan selekoh sebelum hilang kawalan
dan memasuki laluan bertentangan sehingga merempuh kenderaan mangsa.
“Saksi kejadian boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah menerusi
talian 09-2502222 untuk membantu siasatan yang dijalankan di bawah
Seksyen (41) (1) APJ 1987 ini,” katanya. Difahamkan, semua mangsa
dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Felda
Sebertak, tengah malam kelmarin
No comments:
Post a Comment