BERA - Sebanyak 32 buah rumah penduduk Orang Asli di tiga perkampungan
di sini mengalami kerosakan akibat dilanda ribut, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Bera DSP Zahid Mohd Noor berkata 14 buah daripada
rumah itu rosak teruk dihempap pokok serta dahan manakala rumah lain
bumbungnya diterbangkan angin kencang.
Katanya kejadian yang berlaku selama 40 minit bermula pada pukul 10.30
malam itu membabitkan penduduk Kampung Putat, Kampung Gua dan Kampung
Bapak yang membabitkan 32 keluarga terdiri daripada 78 orang.
Zahid bagaimanapun berkata tiada sebarang kemalangan jiwa atau
kecederaan dilaporkan. Beliau berkata selain kerosakan rumah, penduduk
kampung juga mengalami kerugian lain apabila 500 hingga 700 pokok getah
tumbang dilanda ribut kencang itu.
Menurutnya jumlah kerugian belum dapat ditaksirkan kerana Jabatan
Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kemajuan Orang Asli masih menjalankan
siasatan.
Katanya sebahagian daripada mangsa masih menumpang di rumah jiran sementara menanti kerja-kerja pembaikan dilakukan.
Dalam perkembangan sama, Tahzir Hussien iaitu Pegawai Khas kepada
Anggota Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menyampaikan
bantuan berupa makanan, pakaian dan wang kepada mangsa terbabit semalam.
- Bernama
No comments:
Post a Comment