JEMPOL: Beberapa peneroka didakwa menerima tawaran untuk
menjual saham mereka berikutan kejayaan penyenaraian Felda Global
Ventures Holdings (FGVH).
Namun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lui, Datuk Zainal
Abidin Ahmad menasihatkan mereka supaya jangan tergesa-gesa melupuskan
saham mereka dalam satu mesyuarat baru-baru ini.
"Saya dimaklumkan oleh ramai peneroka bahawa mereka menerima
panggilan telefon meminta mereka melupuskan saham masing-masing. Saya
nasihatkan mereka supaya tidak bertindak terburu-buru," katanya.
Zainal berkata, peneroka tidak perlu terburu-buru melupuskan saham
mereka memandangkan mereka harus memanfaatkan segala peluang daripada
perjanjian pinjaman enam bulan mereka dengan bank.
"Memandangkan kadar faedah terlalu kecil, mereka tidak perlu bertindak terburu-buru," katanya.
Zainal turut menasihatkan para peneroka supaya menghubungi Felda
sekiranya mereka menerima panggilan daripada pihak atau individu yang
mencurigakan.
Pada Khamis, penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd
menunjukkan permulaan yang hebat dengan saham diniagakan menjadi antara
saham paling untung dan aktif diniagakan di pasaran utama Bursa
Malaysia.
IPO FGVH bernilai RM10.4 bilion merupakan kedua terbesar di dunia tahun ini selepas Facebook Inc.
Seramai 112,635 menerima manfaat terbesar berikutan penyenaraian itu
dengan memperoleh durian runtuh RM15,000 dan pemilikan saham.
Shariffudin Saad, 53, dari Felda Lui Selatan, yakin nilai saham akan terus melonjak naik dalam beberapa minggu akan datang.
"Ahli keluarga memberitahu saya supaya tidak menjual saham itu. Saya
ingin terus memilikinya dan menyerahkan kepada orang tersayang agar
mereka dapat menikmati kesenangan hidup," katanya.
Seorang lagi peneroka, Abdul Wahab Long, 58, berkata dengan pemilikan
saham itu, dia boleh memberi kesenangan kepada keluarganya.
"Kini, saya boleh merancang masa depan dan persaraan saya," katanya dari Felda Lui Muda.
Mokthar Abdul Rahman, 57, berkata dia berasa gembira kerana digelar pemegang saham.
"Kita masih lagi meraikan penyenaraian itu. Felda mencipta pelbagai
kejayaan sejak penubuhannya dan dengan izin Allah, ia akan terus
cemerlang pada masa akan datang," katanya.
No comments:
Post a Comment