JOHOR BAHRU - Anggota tentera yang kelihatan di Stadium Sultan Muhammad
IV, Kota Baharu ketika perlawanan bola sepak antara Johor Darul Takzim
dan Kelantan dua hari lepas merupakan anggota komando Rejimen 21 Grup
Gerak Khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menafikan mereka yang
lengkap bersenjata itu merupakan anggota tentera daripada pasukan
Timbalan Setia Negeri Johor (TSN).
"Mereka (anggota Gerak Khas) berada di stadium kerana menerima arahan
yang menyatakan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar
akan mencemar duli menyaksikan perlawanan itu," titah baginda pada
sidang media di kediaman baginda di sini hari ini.
Baginda bertitah kehadiran anggota Gerak Khas itu merupakan persediaan
keselamatan sekiranya Sultan Johor, yang juga Kolonel Komandan GGK
menyaksikan perlawanan terbabit.
Tunku Ismail yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor
bertitah kehadiran anggota Gerak Khas itu merupakan prosedur biasa yang
telah ditetapkan dan tidak perlu dijadikan isu oleh mana-mana pihak.
"Kita boleh tanya kepada para pegawai mereka (Grup Gerak Khas), mereka
ditugaskan bersedia untuk kehadiran Sultan Johor," titah baginda.
Media hari ini melaporkan ketidakpuasan hati penyokong pasukan Kelantan
berikutan kehadiran anggota tentera lengkap bersenjata yang disangka
daripada TSN pada perlawanan antara kedua-dua pasukan dua hari lepas.
Sementara itu, Tunku Ismail juga melahirkan kekecewaan terhadap
Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) yang tidak melakukan persediaan
bagi mengawal keselamatan penyokong Johor yang hadir di stadium semasa
perlawanan itu.
Tindakan Kafa tidak meletakkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bagi
mengawal keselamatan penyokong Johor sepanjang mereka berada di stadium
adalah amat dikesali, titah baginda.
Tunku Ismail bertitah pihak baginda menerima banyak aduan penyokong
Johor dibaling batu dan botol oleh penyokong fanatik Kelantan.
"Selain itu para pemain dan penyokong Johor terpaksa menyelinap keluar
melalui pintu lain selepas lampu limpah dipadamkan dan diiringi Polis
Diraja Malaysia sejauh 20 kilometer meninggalkan stadium," titah Tunku
Ismail. - Bernama
No comments:
Post a Comment