KUALA LUMPUR 4 Jan. – Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu
menegaskan parti itu kekal dengan keputusan menyokong penggunaan kalimah
Allah untuk penganut bukan Islam seperti yang diputuskan oleh
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 2010.
Beliau yang dilihat seolah-olah memandang ringan kemarahan umat Islam
dalam isu tersebut berkata, polemik kalimah Allah hanya timbul di
Semenanjung tetapi tidak pernah menjadi isu dalam kalangan penganut
Islam dan Kristian di Asia Barat serta Sabah dan Sarawak.
“Presiden Pas pernah mengeluarkan kenyataan pada 2010 untuk tidak
melarang penganut selain Islam menggunakan kalimah Allah. Pas masih
kekal dengan pendirian itu,” katanya sebagaimana dipetik daripada portal
berita propembangkang, Malaysian Insider hari ini.
Kenyataan Mohamad itu bertentangan dengan pendirian Setiausaha Agung
Pas, Datuk Mustafa Ali; Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan
Man dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr. Rani Osman yang menjelaskan
kalimah Allah hanya untuk orang Islam.
Mereka bertiga sepakat bahawa terjemahan God dalam kitab Bible untuk
penganut Kristian harus digantikan dengan ‘Tuhan’ dan bukan ‘Allah’
sebagaimana dituntut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ketika
menyampaikan perutusan Krismas baru-baru ini.
Sementara itu, menerusi lidah rasmi Pas, Harakah Daily, Mohamad
mempertahan pendiriannya menyokong penggunaan kalimah Allah untuk
penganut bukan Islam tetapi mendakwa tidak merujuk kepada penggunaan
Bible sebaliknya secara umum.
“Saya bukan ahli agama, tetapi saya menyokong apa yang diputuskan
Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Presiden parti dalam isu
penggunaan kalimah Allah,” katanya sambil mengakui belum membaca
kenyataan Tuan Ibrahim dengan alasan baru balik dari luar negara – Utusan
No comments:
Post a Comment