BANDAR DAVAO, Filipina – Ketua
gerombolan pengganas Sulu di Sabah, Azzimuddie Kiram didakwa masih
berada di Sabah, walaupun pihak media Malaysia melaporkan dia telah
melarikan diri dan kembali ke negara ini, dakwa anak pemimpin pengganas
Sulu, Jacel Kiram semalam.
“Kami bercakap dengannya (Azzimuddie) melalui telefon pagi tadi (semalam),” kata Jacel kepada akhbar dalam talian Rappler.com
Katanya, perbualan rutin selama 30 saat setiap hari itu membuktikan Azzimuddie masih berada di Sabah.
Pihak berkuasa Malaysia sebelum ini
menyatakan bahawa Azzimuddie, 72, telah meninggalkan orang-orangnya di
Lahad Datu dan kini sedang bersembunyi untuk mengelak daripada ditangkap
pihak berkuasa negara tersebut.
Jacel menegaskan, bapa saudaranya itu dan beberapa pengikutnya sedang menyembunyikan diri di Sabah.
Dia juga menafikan Datu Amirbahar Hushin
Kiram, 40 yang ditahan pihak berkuasa Malaysia berpangkat jeneral dalam
tentera Kesultanan Sulu.
Katanya, Amirbahar telah menjadi penduduk tetap Sabah sejak empat tahun lalu.
“Dengan penahanan Amirbahar, pihak
berkuasa Malaysia memberitahu masyarakat antarabangsa yang mereka
berjaya mengawal keadaan dan ia tidak benar,” kata Jacel.
“Kami perlu berhati-hati. Dia bukan seorang jeneral,” tambahnya.
Sebelum ini Jacel pernah menipu dengan
menunjukkan sekeping gambar palsu yang didakwanya sebagai anggota
keselamatan Malaysia yang mati selepas bertempur dengan pengikut
bapanya.
Gambar itu merupakan askar-askar Thailand yang terkorban pada tahun 2007 yang disiarkan di internet.
Azzimuddie dan sejumlah pengikutnya
memasuki Lahad Datu, Sabah pada 12 Februari lalu untuk menuntut tanah
yang didakwa hak milik nenek moyang mereka. – Agensi
No comments:
Post a Comment