PUTRAJAYA - Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini
berkata tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang "begitu galak" memfailkan
saman sekarang sebenarnya merupakan pendekatan kegemaran Ketua
Pembangkang itu untuk menutup mulut orang lain.
Kata beliau, ini kerana, apabila sesuatu perkara dirujuk kepada
mahkamah, ia tidak lagi boleh dibincang secara umum untuk mengelak
berlaku subjudis.
"Seperti yang anda tahu, beliau telah menyaman saya dan selama empat
tahun saya tak boleh membuka mulut. Itulah cara beliau berkempen,
menyekat orang daripada bercakap, sedangkan beliau percaya kepada
kebebasan bersuara dan perkara seumpamanya.
"Tapi, apabila orang bersuara, beliau hendak tutup mulut mereka dengan
menyaman semua orang," katanya kepada pemberita di Yayasan Kepimpinan
Perdana di sini hari ini.
Dr Mahathir berkata demikian apabila diminta mengulas laporan akhbar
yang menyebut bahawa bekas rakan Anwar, Senator Datuk S. Nallakarupan,
menuduh Ketua Pembangkang itu menggunakan saman untuk menyekat perbuatan
buruknya didedah kepada umum.
Terdahulu, Dr Mahathir menerima kunjungan hormat Presiden Guinea Alpha
Conde, yang melakukan lawatan rasmi pertama beliau ke Malaysia.
Mengenai pertemuan mereka yang berlangsung selama lebih kurang setengah
jam, Dr Mahathir berkata Conde ingin mengetahui lebih mendalam tentang
negara ini dan mempelajari cara kerajaan membangunkan Malaysia untuk
beliau contohi dalam membangunkan Guinea.
Sebelum itu, Conde mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak dan kedua-dua pemimpin bersetuju mengkaji bidang
baru hubungan dua hala antara Malaysia dan Guinea.
Najib dan Conde juga menyaksikan upacara menandatangani memorandum
persefahaman mengenai kerjasama dalam bidang pengajian tinggi oleh
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin dan Menteri Kerjasama
Antarabangsa Guinea Prof Datuk Koutoub Moustapha Sano.
Najib juga meraikan presiden itu pada majlis jamuan tengah hari di kediaman rasmi beliau di Seri Perdana di sini. - Bernama
No comments:
Post a Comment