BACHOK, 5 Jan - Tarikh akhir pendaftaran Bantuan Rakyat
1Malaysia (BRIM 2.0) yang sepatutnya berakhir 31 Disember lepas
dilanjutkan sehingga 15 Januari ini dan tempoh bayaran ditetapkan
bermula 2 Februari depan.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata tempoh
lanjutan itu adalah bagi memberi peluang kepada golongan bujang berusia
21 tahun yang layak memohon mengemukakan permohonan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap pada majlis
Tenaga Nasional Berhad (TNB) Cakna Keselamatan Elektrik Bersama Penduduk
Setempat di pejabat TNB Bachok di sini, Sabtu.
Pada pembentangan Belanjawan 2013, September lepas, kerajaan
mengumumkan BR1M 2.0 diperluaskan kepada mereka yang belum berkahwin
berumur 21 tahun yang berpendapatan RM2,000 ke bawah, layak menerima
RM250.
Awang Adek, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno
Kelantan, berkata seramai 30 penduduk miskin di Jajahan Bachok layak
menerima bantuan pemasangan pendawaian elektrik di rumah mereka.
Katanya ia adalah projek rintis sebelum diperluaskan ke jajahan lain di negeri itu.
No comments:
Post a Comment