ALOR SETAR - Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) mungkin diadakan pada
pertengahan atau penghujung Disember iaitu tiga bulan selepas
pembentangan Bajet 2013.
Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan
Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd
Azizuddin Mohd Sani berkata, PRU13 mungkin diadakan sewaktu cuti
persekolahan dan Disember dilihat sebagai bulan yang sesuai.
“Ini kerana bajet akan dibentangkan pada September, dan sudah tentu
tidak sesuai diadakan pilihan raya. Manakala musim haji iaitu Oktober
dan November pula, ia sudah menjadi isu justeru agak mustahil untuk
kerajaan mengambil risiko kerana ia pasti akan dijadikan modal dalam
kempen parti pembangkang.
“Tambahan pula, apabila kerajaan mengumumkan pemberian ‘durian runtuh’
kepada rakyat, ia mungkin akan dapat dinikmati sekitar Disember dan
Januari.
"Sudah tentu mereka tidak akan lanjutkan tarikh PRU terlalu lama dari
tarikh bajet diumumkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Katanya, adalah sukar untuk menjangkakan bahawa PRU13 akan diadakan
pada tarikh akhir tempohnya iaitu Mac tahun depan kerana ia agak
berisiko.
“Rakyat mungkin akan berubah fikiran dalam menentukan siapa pilihan
mereka dalam PRU13 jika tercetus perkara yang tidak diduga, contohnya
penganjuran demonstrasi seumpama Bersih.
“Bagaimanapun, saya percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
sudah mempunyai tarikh yang difikirkan tepat dan sesuai bagi
membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya. Cuma belum sampai
masanya untuk diumumkan,” katanya.
Menurutnya, sokongan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) di
Kedah dan seluruh negara, dilihat bertambah selepas pemberian Bantuan
Rakyat 1Malaysia (BR1M).
“Namun apabila berlaku demonstrasi Bersih baru-baru ini, sokongan itu
dilihat agak menurun, khususnya kalangan masyarakat bukan Melayu.
Sebaliknya sokongan dalam kalangan masyarakat Melayu tidak banyak
berubah.
“Justeru, dalam masa yang singkat ini, kerajaan perlu meraih kembali sokongan daripada pengundi bukan Melayu,” katanya.
-sinarHarian-
No comments:
Post a Comment