Tuesday, 17 April 2012

Program 1 Bulan 1 Inovasi Bagi Pembangunan Pengurusan Koperasi

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merancang untuk melaksanakan program "1 Bulan 1 Inovasi" bagi mentransformasikan pengurusan koperasi di negara ini melalui inovasi.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata sebarang cadangan dan maklum balas amat diperlukan dalam membawa inovasi yang signifikan dan berimpak tinggi kepada pengurusan koperasi di Malaysia.

"Program ini dalam perancangan dan bagi saya wajar dilaksanakan bagi mempelbagaikan lagi gerak kerja dan aktivi yang bersesuaian dan berkait rapat dengan pengurusan koperasi di negara ini.

"Jika sebulan satu aktiviti maka setahun akan ada 12 aktiviti berbeza secara tidak langsung jika kesemua aktiviti yang dijalankan nanti mendatangkan hasil dan kita akan lihat penambahan jumlah koperasi di dalam negara," katanya kepada pemberita pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Suruhanjaya Koperasi Malaysia 2011, di sini Selasa.

Sehingga kini sebanyak 9,200 koperasi berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Ismail Sabri berkata kerajaan juga telah bersetuju untuk menambah peruntukan sebanyak RM10 juta bagi pembangunan koperasi di seluruh negara.

"Bagi tahun ini peruntukan penambahan dan pembangunan koperasi adalah sebanyak RM50 juta termasuk dengan peruntukan tambahan yang telah dipersetujui oleh kerajaan.

"Saya lihat peruntukan itu relevan dengan hasrat KPDNKK bagi memastikan jumlah koperasi berdaftar di bawah SKM akan meningkat kepada 10 ribu menjelang tahun hadapan," katanya.

No comments:

Post a Comment