KUALA LUMPUR: Tujuh buah kenderaan melibatkan lima kereta, satu van
dan sebuah motosikal tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Persiaran
Putra Bahagia berhampiran Balai Polis Putra Heights, Subang Jaya, dekat
sini, Khamis.
Bagaimanapun lapan pengguna kenderaan terlibat dilaporkan selamat dan tidak mengalami kecederaan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd
Sani Harul, berkata banjir lumpur berlaku di laluan itu akibat daripada
runtuhan tanah daripada Bukit Cermin yang sedang dalam proses pembinaan
rumah semi-D.
“Tanah tersebut runtuh kemudian memasuki ke dalam kolam takungan air yang berhampiran dan menyebabkan kolam itu pecah.
“Air dan campuran lumpur tersebut melimpah ke jalan raya yang mana
jarak antara kolam dan jalan kira-kira 20 meter,” katanya di lokasi
kejadian.
Kenderaan-kenderaan yang pada mulanya tertimbus kemudiannya
‘dihanyutkan’banjir lumpur itu dan pengguna-pengguna kenderaan itu dapat
menyelamatkan diri,katanya.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 6.12 petang dan sampai di tempat kejadian dua minit kemudian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Yahaya Ramli,
berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 6.05
petang.
“Kejadian tersebut berlaku 500 meter daripada Balai Polis Putra Heights,” katanya.
Beliau berkata, kerja-kerja pembersihan jalan raya sedang dilakukan
dan diharap selesai pada tengah malam ini supaya orang ramai dapat
melalui semulajalan tersebut.
Manakala, pihak pemaju projek perumahan tersebut Kingsley Hills Sdn
Bhd, Tan Sri Barry Goh, berkata pembinaan rumah tersebut bermula pada
awal tahun lepasdan dijangka siap dalam tempoh lima tahun.
“Kita mungkin terpaksa menghentikan projek pembinaan tersebut dan
akan berbincang dengan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengenai
tindakan seterusnya,” katanya sambil menambah keluasan projek itu
kira-kira 40.46 hektar.
Ahli Dewan Negeri Selangor (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafie meminta
semua kerja-kerja pembinaan di kawasan itu dihentikan sehingga satu
kajian dibuat.
- BERNAMA
No comments:
Post a Comment