Thursday 26 July 2012

Pengumuman Bonus Tidak Seharusnya Pengaruhi Harga Barang - Ismail Sabri

P. JAYA, 26 Julai, Pengumuman bonus kepada penjawat awam tidak seharusnya mempengaruhi sebarang kenaikan harga barang, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan DS Ismail Sabri Yaakob.
 Beliau berkata isu kenaikan harga yang biasanya timbul apabila kerajaan membuat pengumuman berkaitan kenaikan gaji dan bonus untuk penjawat awam hanyalah satu spekulasi orang awam.

"Ia juga tidak seharusnya dijadikan sandaran kepada peniaga untuk menaikkan harga barang kerana harga barang harian akan dinaikkan atas sebab-sebab munasabah yang lain," katanya kepada media ketika menghadiri majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim anjuran Giant di sini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam.

Ismail juga berharap pengguna terus menjadi mata dan telinga kementerian itu dan membuat laporan sekiranya terdapat peniaga yang menaikkan harga barang tanpa alasan munasabah.

"Kami juga meminta kerjasama daripada peniaga untuk tidak menyorokkan barang kawalan dan sekiranya mereka tertangkap, pihak berkuasa akan mengenakan tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat," katanya sambil memberi jaminan bahawa setakat ini bekalan mencukupi dan harga barangan keperluan masih dalam kawalan.

Beliau turut menyatakan bahawa pihak kementerian juga telah melipat-gandakan usaha dalam memantau harga barangan kawalan itu sempena Ramadan dan musim perayaan yang bakal tiba.

Sementara itu, seramai 340 kanak-kanak daripada lapan rumah kebajikan sekitar Lembah Klang diraikan dalam acara membeli belah dan majlis berbuka puasa tajaan sepenuhnya syarikat pasar raya besar itu.

Pada majlis sama, Giant turut menyumbang sejumlah RM58,000 bagi membantu kanak-kanak dan rumah-rumah kebajikan itu menyiapkan persediaan untuk hari raya yang bakal tiba.

Sumbangan terdiri daripada RM100 duit membeli belah untuk setiap kanak-kanak, manakala setiap rumah kebajikan menerima sumbangan wang tunai RM3,000.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment