Thursday, 3 January 2013

Pembangkang Bincang Usul Kalimah Allah Selasa Ini

Kontroversi isu kalimah Allah yang ditimbulkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat Selasa ini.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu berkenaan tidak berbangkit namun sedia berbincang sekiranya wujud pertikaian baru memandangkan pada 2010 Pakatan Rakyat bersetuju agar kalimah Allah boleh digunakan oleh penganut Kristian.
“Saya percaya isu ini boleh dibangkitkan dalam mesyuarat walaupun Pakatan telah putuskan pada 2010.
“Hingga kini belum ada usul baru untuk pinda keputusan lama. Kalau timbul pandangan baru serta ada pihak bangkitkan…kita akan bincangkan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Petaling Jaya, Khamis.
Pada Januari 2010 Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh penganut agama Kristian sebagai menghormati prinsip kebebasan beragama dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun isu penggunaan kalimah Allah kembali menjadi polemik apabila Guan Eng menerusi mesej sempena sambutan Hari Krismas mendesak Kerajaan Pusat membenarkan perkataan Allah digunakan dalam kitab Bible bahasa Melayu.
Kenyataan Guan Eng ini mendapat kritikan keras oleh pelbagai pihak terutamanya dari kepimpinan Umno dan ulama bebas.
Malah sekutu mereka dalam pakatan pembangkang iaitu PAS kali ini turut tidak bersetuju dengan desakan berkenaan.
Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, pendirian parti itu jelas bahawa Bible Bahasa Melayu harus menggantikan istilah ‘God’ dengan ‘Tuhan’ dan bukannya ‘Allah’ untuk mencerminkan maksud sebenar daripada teks asal kitab berkenaan.
-mStar

No comments:

Post a Comment