Thursday, 3 January 2013

Kecewa kemudahan tidak sempurna


Akmal menunjukkan keadaan almari tanpa pintu yang sempat dirakam menggunakan telefon bimbit semasa menghantar anaknya ke asrama terbabit.
BERA - Kemudahan dalam bilik asrama sebuah sekolah bantuan penuh kerajaan di sini membuatkan ibu bapa dan penjaga bimbang dengan keadaan anak-anak mereka.

Mereka mendakwa keadaan almari tidak sempurna kerana pintunya rosak boleh menyebabkan berlaku kecurian barangan peribadi.

Wakil penjaga yang mahu dikenali sebagai Akmal, 51, berkata, perkara itu dibangkitkan bukan mahu mengaibkan Pejabat Pelajaran Daerah atau sekolah berkenaan, sebaliknya bertujuan menjamin keselesaan anak-anak yang tinggal di asrama.

Katanya, bagi pelajar yang mendapat almari tanpa pintu, sudah pasti mereka bimbangkan tahap keselamatan barang masing-masing semasa tiada di dalam bilik.

“Sedangkan almari terbuka memberi peluang kepada orang lain untuk mencuri, inikan pula dengan keadaan almari tanpa pintu.

“Kalau boleh, kita minta pihak berkenaan mengatasi masalah tersebut secepat mungkin,” katanya selepas menghantar anak lelakinya ke asrama sekolah terbabit.

Dia berkata, ibu bapa dan penjaga yang menghantar anak mereka ke bilik asrama sekolah berkenaan terkejut apabila mendapati terdapat kemudahan tidak lengkap termasuk tilam serta kipas.

Menurutnya, ada beberapa tilam didapati patah dua, tetapi masih digunakan dan disarung menggunakan kain PVC supaya tilam itu tidak beralih, sementara 80 peratus daripada kipas yang ada pula tidak berfungsi.

“Kami sebagai ibu bapa tidak menafikan keadaan tersebut berlaku disebabkan tindakan nakal sesetengah pelajar, tetapi perkara ini seharusnya  dipantau sebaik mungkin.

“Ini adalah teguran untuk kebaikan semua dan bukan bertujuan menjatuhkan sesiapa kerana bagi saya, keadaan selesa membuatkan anak-anak dapat belajar dengan baik,” katanya.

No comments:

Post a Comment