KUANTAN - Pahang sudah membuat persiapan bagi menghadapi ribut tropika
atau Sonamu yang diramal melanda negeri ini Rabu dan Khamis ini,
diikuti hujan sehingga 11 Januari.
Mengikut ramalan, negeri ini dijangka mengalami keadaan air pasang rendah esok manakala air pasang tinggi Khamis ini.
Malah angin kencang selaju 30 hingga 40 kilometer sejam turut dijangka
berlaku dalam tempoh tiga hari bermula Rabu ini dengan ketinggian ombak
4.5 meter.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negeri Pahang,
Datuk Seri Muhamad Saffian Ismail berkata, maklumat terkini daripada
Jabatan Meteorologi meramalkan hujan dijangka tidak lebat pada Khamis
ini.
Bagaimanapun, jika hujan lebat pada hari tersebut, beberapa daerah yang
berada di persisiran pantai seperti Kuantan, Pekan dan Rompin mungkin
berdepan banjir sekali lagi.
“Buat masa ini kita mengambil langkah berjaga-jaga untuk menghadapi segala kemungkinan.
“Malah bekalan makanan di pangkalan hadapan yang rosak akan diganti
baru seperti di Maran dimaklumkan mengalami kerosakan,” katanya kepada
pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan dan
Bantuan Bencana Negeri di sini, hari ini.
Muhammad Saffian berkata, persediaan menghadapi kemungkinan banjir kali
ini turut membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang akan memberi
bantuan kecemasan.
Selain itu katanya, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menyediakan
tiga helikopter untuk memastikan penghantaran bekalan ke pusat
pemindahan berjalan lancar.
“Memandangkan sebelum ini berlaku kelewatan tiba keperluan di pusat
pemindahan, jadi kita mendapatkan bantuan daripada TUDM selain Tentera
Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang bersedia menghantar bantuan ke Pulau
Tioman,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 181 pusat pemindahan banjir disediakan bagi
tiga daerah berisiko iaitu 66 di Kuantan yang mampu menampung 20,000
mangsa banjir, 84 di Pekan (9,000 mangsa) manakala 31 di Rompin (4,000
mangsa).
Dalam pada itu, Muhammad Saffian berkata, semua aktiviti berisiko
seperti perlombongan, pembalakan dan menangkap ikan dibekukan buat
seketika sehingga keadaan cuaca kembali normal.
“Pekerja industri perlombongan, pembalakan dan nelayan diingatkan
supaya mengelakkan diri daripada berada di kawasan berkenaan dalam
tempoh jangkaan ribut tersebut.
“Selain itu, pencinta aktiviti lasak juga dinasihatkan supaya tidak
menjalankan aktiviti di hutan dan laut buat sementara waktu,” katanya.
No comments:
Post a Comment