Perdana Menteri berkata, antara aspek itu penjawat awam perlu memastikan perpaduan nasional dan jati diri diperkukuh dan diteruskan berpaksikan gagasan 1Malaysia.
Selain itu katanya, segala ketetapan Bajet 2013 mesti dilaksanakan mengikut jadual yang sudah ditetapkan.


"Agenda nasional termasuk GTP dan ETP mesti diberikan tumpuan kerana terbukti kejayaannya, memberi kepuasan kepada rakyat serta pertumbuhan ekonomi negara," katanya.

Beliau turut menegaskan, pengurusan ekonomi negara perlu memberi fokus kepada strategi mengembangkan ekonomi, selain pelaksanaan menyeluruh bagi program di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Katanya, setiap menteri dan kementerian perlu mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) penuh dan semua penjawat awam perlu meneruskan usaha penambah baikan berdasarkan aspek perkhidmatan yang cepat, tepat dan berintegriti.