Sunday 13 January 2013

#pru13 Bilik Gerakan PDM BN Operasi Mulai 1 Feb

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan mengingatkan semua jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) membuka bilik
gerakan operasi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) masing-masing selewat-lewatnya 1 Februari ini.
Beliau berkata, Pengerusi BN yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengeluarkan arahan itu pada minggu lepas.
“Bilik gerakan pusat daerah mengundi hendaklah dibuka pada 1 Februari ini. Itu arahan terbaru daripada pucuk pimpinan parti. Kalau yang belum ada bilik gerakan hendaklah mencari bilik gerakan.
“Kalau selama ini bilik gerakan itu menyewa sebuah kedai di satu jalan, sewalah. Kalau bilik gerakan itu di balai raya yang tertentu yang menjadi pusat kegiatan parti selama ini maka di situlah. Yang pentingnya bilik gerakan itu mula beroperasi pada 1 Februari 2013,” katanya kepada pemberita selepas melawat PDM Permatang Damar Laut, dekat Georgetown, Ahad.
Beliau berkata, bilik gerakan itu berperanan sebagai pusat jentera parti untuk beroperasi menjelang pilihan raya umum ke-13.
Katanya, terdapat 7,531 PDM di seluruh negara dan beliau akan melawat setiap bilik gerakan operasi PDM dari semasa ke semasa.
Terdahulu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menerima 700 borang permohonan keahlian baru Parti Progresif Penduduk (PPP) bagi penduduk Batu Kawan.
Beliau yang mengalu-alukan perkara itu berkata permohonan itu menunjukkan tanda sokongan masyarakat terhadap BN yang semakin meningkat sekaligus menambah keyakinan parti itu mampu menawan semula Pulau Pinang.
“Ini juga satu petanda bagaimana Barisan Nasional semakin mendapat sokongan. Setiap hari kita menerima orang masuk anggota Umno, MCA, MIC, Gerakan, PPP…ini satu petanda yang amat baik,” katanya.
- Bernama

No comments:

Post a Comment