Semua
pihak dalam Barisan Nasional (BN) yang tersingkir daripada menjadi
calon Pilihan Raya Umum ke-13 dinasihatkan supaya tidak melobi pada saat
akhir kerana tindakan itu hanya membuang masa.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka
tidak perlu melobi ketua perhubungan negeri, anggota majlis tertinggi
atau naib presiden parti untuk menjadi calon kerana beliau percaya Datuk
Seri Najib Tun Razak telah mempunyai senarai calon yang sesuai.
“Pada hemat saya Perdana Menteri selaku Pengerusi BN dan Presiden
Umno telah mempunyai senarai calon yang sesuai bagi menggantikan
kawasan-kawasan yang mempunyai calon yang bermasalah,” katanya selepas
menyampaikan Bantuan Persekolahan RM100 bagi kawasan Parlimen Bagan
Datoh di Sekolah Kebangsaan Simpang Empat di Bagan Datoh, Isnin.
Katanya, Najib telah meminta tiga nama yang berpotensi sebagai calon
disenarai bagi setiap kawasan Parlimen dan DUN kira-kira lapan bulan
lepas dan sudah pasti Perdana Menteri telah menilai senarai berkenaan.
“Namun terdapat nama-nama yang didapati tidak sesuai untuk menjadi
calon walaupun ia dikemukakan oleh kepimpinan akar umbi disebabkan
laporan-laporan yang tidak memihak kepada calon berkenaan.
“Yang demikian ada kemungkinan di sesuatu kawasan Parlimen atau DUN terpaksa dicari calon lain,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, calon yang dianggap
mempunyai kelebihan mungkin terdiri daripada tokoh akademik, korporat
atau tokoh-tokoh lain yang boleh memenangkan sesuatu kawasan yang
ditandingi BN.
“Jadi, jangan anggap mereka sebagai calon payung terjun. Itu adalah calon daripada parti,” katanya.
- BERNAMA
No comments:
Post a Comment