KUALA LUMPUR, 3 Jul — Putrajaya sahkan peniaga tidak perlu berpindah
keluar dari Plaza Bukit Bintang (BB Plaza)berikutan kerja-kerja
pembinaan stesen MRT yang dijalankan.
Menurut Menteri Hal Ehwal Pengguna, Perdagangan Dalam Negeri dan
Koperasi, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pihak UDA selaku pemilik
bangunan telah bersetuju untuk mengurangkan sewa selepas penutupan di
bahagian depan dibuat.
“Kita harapkan para peniaga boleh menarik nafas lega selepas
perbincangan ini. Kita boleh selesaikan masalah ini tanpa perlu turun ke
jalan” kata beliau selepas berbincang antara wakil peniaga, pihak UDA
dan pihak MRT selama dua jam pada petang ini.
Walaubagaimanapun,
Ismail Sabri menyatakan bahawa lima premis perniagaan yang terletak di
luar bangunan BB Plaza terpaksa berpindah hujung minggu ini bagi
kerja-kerja awal untuk pembinaan MRT.
Ismail Sabri juga berkata bahawa pemaju projek MRT iaitu MRT Corp
bersetuju untuk membayar pampasan kepada lima perniagaan yang terjejas.
Minggu lalu pemilik BB Plaza, UDA Holdings dilaporkan berkata
bangunan ini terpaksa diruntuhkan untuk memberi laluan kepada projek MRT
ini dijalankan dan seterusnya menjejaskan pendapatan kira-kira 167
peniaga di BB Plaza.
Ismail bagaimanapun tidak pasti tentang berita mengatakan BB Plaza
akan dijual ke pihak lain. UDA Holdings menurut beliau bersetuju untuk
mengurangkan sewa selepas penutupan bahagian hadapan BB Plaza selama dua
tahun atau sehingga pemilik baru membeli bangunan ini, yang mana tiba
lebih awal, berdasarkan sejauh mana kerugian para peniaga selepas
pembinaan projek ini dijalankan.
Dua minggu lalu, The Malaysian Insider melaporkan bahawa Tradewinds
Corporation Bhd (TCB) yang majoriti sahamnya dimiliki oleh Tan Sri Syed
Mokhtar al-Bukhary berminat untuk membeli BB Plaza dan bangunan Yayasan
Selangor untuk cadangan pembangunan projek stesen MRT itu.
Pemaju hartanah dan pemilik rangkaian hotel yang dimiliki Tan Sri
Syed Mokhtar Al-Bukhary, turut memiliki pegangan utama dalam projek
bersama MMC-Gamuda mempunyai projek pembinaan terowong sepanjang 51 km
Sungai Buloh-Kajang fasa pertama MRT yang dijadualkan siap pada 2017.
Sekiranya dijual, kata Ismail Sabri lagi, pihak UDA Holdings akan
menyediakan satu klausa dalam perjanjian pembelian itu nanti untuk
mengutamakan penyewa premis yang sedia ada dan sekiranya bangunan ini
perlu dirobohkan, notis awal dari enam bulan - setahun lebih awal akan
dikeluarkan.
Sementara itu pihak MRT yang hadir dalam sidang media itu berkata,
kerja-kerja ringan dalam pembinaan itu akan bermula tengah malam 8
Julai.
Katanya lagi, perpindahan kiosk di luar memberi laluan untuk membina
lencongan untuk laluan trafik Jalan Bukit Bintang dan mengekalkan tiga
lorong di jalan tersebut.
MRT juga akan menggunakan “holding board” yang lebih menarik agar pengunjung akan tertarik untuk ke BB Plaza.
“Laluan itu melibatkan dari hadapan Lot 10, Yayasan Selangor hingga ke Gloria Jeans Coffee”, katanya lagi.
Projek stesen MRT ini akan siap menjelang tahun 2017 dan kira-kira RM
8.4 billion untuk pembinaan terowong sejauh 9.5 kilometer dengan tujuh
stesen bawah tanah dalam laluan ini.
-themalaysianinsider-
No comments:
Post a Comment