Saya
yakin sebahagian rakyat Malaysia khususnya dikalangan masyarakat Melayu
Islam agak tersentak mengikuti ulasan Timbalan Presiden PKR YB Azmin
Ali mengenai keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang sama sekali tidak
membenarkan kalimah Allah diterjemah dalam apa bahasa pun termasuk
digunakan di dalam Bible berbahasa Melayu.
Kenyataan yang
dikeluarkan oleh Azmin menggambarkan keangkuhan dan kebiadaban pemimpin
PKR itu sebagai seorang Muslim dan sebagai seorang Melayu. Tidak
terfikir di kepala kita ada pimpinan Muslim yang latarbelakang keluarga
begitu hampir kepada Islam mengeluarkan kenyataan yang disifatkan
sebagai biadab seperti yang dipaparkan dalam media kelmarin.
Inti kenyataan beliau boleh disimpulkan seperti berikut :
1.
Menyanggah keputusan yang dibuat oleh Majlis Syura Ulama PAS yang
merupakan badan tertinggi dalam struktur parti PAS berhubung dengan
dasar-dasar parti;
2. Secara sombong dan bongkak memperakukan
keputusan yang dibuat oleh Majlis Presiden Pakatan Rakyat mengenai isu
ini. Gambaran yang diberi seolah-olah Majlis Presiden menduduki tempat
yang supreme yang tidak boleh digugat oleh mana-mana parti komponen
Pakatan Rakyat termasuk PAS. Supremacy ini seharusnya dipertahankan
walaupun keputusan tersebut menyalahi peraturan agama Islam yang suci.
Kesucian itu termasuklah soal aqidah yang bagi orang PAS merupakan
segala-galanya;
3. Kejahilan Azmin tentang kronologi peristiwa
yang berlaku dalamana mesyuarat Majlis Presiden membuat keputusan
mengenai kalimah Allah mendahului keputusan yang dibuat oleh Majlis
Syura Ulama. Dalam sistem parti PAS perkara-perkara pokok mengenai Islam
semestinya mendapat pengesahan Majlis Syura Ulama. Dalam kes ini apa
yang berlaku adalah sebaliknya;
4. Azmin gagal memahami
perasaan, citarasa, hatikecil dan komitmen ahli dan penyokong PAS yang
sentiasa memperjuangkan kesucian agama Islam dan biasanya akur dan patuh
kepada keputusan-keputusan golongan ulama termasuk Dewan Ulama dan
pastinya Majlis Syura Ulama PAS;
5. Kenyataan Azmin tidak
mungkin dapat meredakan keadaan. Ahli dan penyokong PAS yang sudah
ditarbiah sedemikian rupa tidak mudah tunduk kepada mana-mana keputusan
yang membelakangkan prinsip Islam. Mereka tidak akan tunduk kepada
mana-mana individu pimpinan yang diberi kata pemutus di dalam Majlis
Presiden kecuali pimpinan PAS, yang terdiri daripada mereka yang bukan
Islam dan kalaupun Muslim amalan Islam mereka diragukan.
Saya ingin menarik perhatian semua pihak supaya merenungkan perkara-perkara berikut :
1.
Apakah kedudukan keputusan dan resolusi Majlis Syura Ulama PAS yang
telah sebulat suara menolak kalimah Allah untuk diguna pakai dalam Bible
berversi Melayu?
2. Pada masa yang sama bagaimana pula status
keputusan yang dibuat oleh Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang
membolehkan kalimah Allah digunakan?
3. Sehingga ini pimpinan
PKR dan DAP kecuali Azmin belum memberi sebarang ulasan sedangkan
kenyataan bersama Majlis Presiden Pakatan dikeluarkan oleh ketiga-tiga
pimpinan utama. Dato Seri Anwar Ibrahim mewakili PKR, Lim Kit Siang
mewakili DAP dan Dato Seri Hadi Awang mewakili PAS.
4.
Dikalangan saf pimpinan PAS sendiri diluar daripada Majlis Syura Ulama
belum muncul lagi ulasan terhadap status kedua-dua keputusan yang dibuat
oleh Majlis Syura PAS dan Majlis Presiden Pakatan.
5. Adakah
pimpinan PAS dan Pakatan Rakyat terus menidakkan kewujudan
undang-undang, enakmen dan fatwa yang telah dikeluarkan? Jika keadaan
ini berterusan seperti apa yang ada sekarang bermakna PAS dan Pakatan
Rayat secara sewenang-wenangnya mencabul keluhuran undang-undang dan
peraturan yang ada.
Gambaran yang ada dihadapan kita sekarang
ialah pimpinan PAS bebas membuat keputusan mewakili parti dalam hal-hal
yang menyentuh dasar dengan membelakangkan Majlis Syura Ulama. Tidakkah
ini akan mewujudkan precedent yang tidak sihat yang akan menggugat
keutuhan parti itu. Majlis Syura Ulama barangkali perlu melihat semula
perkara ini supaya amalan mengenepikan Majlis Syura tidak menjadi
sesuatu yang boleh dilindungi dan dipertahankan.
Oleh kerana
isu ini besar dan mempunyai implikasi yang mendalam terhadap aqidah umat
maka wajib bagi semua pihak, PAS dan Pakatan Rakyat membuat
penyelesaian yang muktamad terhadap isu yang masih tergantung-gantung
ini.
Apakah Pakatan Rakyat mampu ke Putrajaya dengan isu-isu besar yang belum selesai termasuk isu yang dibincangkan ini?
YB DATO DR HASAN MOHAMED ALI
Presiden JATI Malaysia
TTDI Kuala Lumpur
18 Januari 2013
No comments:
Post a Comment