KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan pemimpin belia yang mempunyai iltizam,
semangat dan motivasi serta cita-cita yang tinggi untuk menyumbang
kepada pembangunan masyarakat serta merubah landskap negara ke arah yang
lebih baik.
Justeru, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyeru pemimpin
muda agar menjadi ketua yang bertanggungjawab, beretika dan boleh
bergantung harap sebagai generasi penyambung sekaligus menggerakkan
transformasi negara.
"Saya berasa amat teruja, saya mendapat dorongan kerana saya berkhidmat
untuk anda dan kita semuanya untuk anda dan inilah semangat kita.
"Dasar dan matlamat transformasi negara menyediakan peluang untuk
menentukan mobiliti sosial yang lebih hebat lagi dan peluang pekerjaan
serta peluang kepada golongan muda hari ini untuk masing-masing mencapai
tahap maksimum mereka," katanya ketika berucap melancarkan Sekretariat
Pemimpin Muda 1Malaysia For Youth (iM4U) di Bangunan Parlimen hari ini.
Najib turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan bekerja
bersungguh-sungguh untuk melakukan yang terbaik di samping membuat
perubahan secara lebih sistematik, teratur, tersusun dan berkesan dari
segi pelaksanaannya.
"Kalau kita membuat sesuatu tanpa perancangan yang jitu, misalnya
jika kita melakukan huru-hara ataupun kita melakukan perubahan yang
berbentuk revolusi, kesannya akan lebih teruk daripada kita membuat
pembaharuan berdasarkan cara yang lebih sistematik," katanya.
Sekretariat Pemimpin Muda iM4U terdiri daripada 20 orang wakil dari
Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta serta Institut Pendidikan
Guru yang memfokuskan kepada program kepimpinan dan sukarelawan di
kalangan belia.
Ia juga akan mengadakan perbincangan dengan wakil-wakil dari badan
bukan kerajaan (NGO) dan persatuan pelajar bagi meningkatkan daya
kepimpinan orang muda dalam semua aspek. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment