JERANTUT - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata majoriti
saham Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) dimiliki rakyat negara
ini.
Beliau berkata majoriti saham itu diberikan kepada para peneroka dan badan-badan amanah di negara ini.
"Majoriti kita beri kepada peneroka dan badan-badan amanah kewangan
tertentu seperti Tabung Haji, EPF (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), PNB
(Permodalan Nasional Berhad) dan sebagainya," katanya kepada pemberita
selepas melancarkan program Kampung Sejahtera Inspirasi Harmoni Felda
(Kasih Felda) di Padang Piol, dekat sini, hari ini.
Najib berkata pemegangan saham itu bererti majoritinya dimiliki rakyat negara ini.
"Jadi daripada situ keuntungan FGVH akan memberi manafaat kepada rakyat Malaysia," katanya.
Beliau berkata kerajaan pusat juga memberikan saham FGVH kepada
kerajaan negeri seperti kepada Pahang dengan dana berjumlah RM250 juta
dan Sabah sebanyak RM200 juta.
"Kita beri keutamaan kepada negeri-negeri yang sediakan tanah kepada kerajaan (untuk program rancangan tanah Felda)," katanya.
Najib berkata hasil yang diperoleh Felda termasuk menerusi penyenaraian
itu juga akhirnya bukan sahaja memberi manafaat kepada para peneroka
tetapi juga kepada masyarakat keseluruhan di negara ini.
"Terbaru, program Kasih Felda ini, yang bakal memberi manfaat kepada 12,000 isi keluarga," katanya.
Program berkenaan bertujuan membaikpulih rumah masyarakat luar terutamanya yang menetap berhampiran kawasan Felda.
Program itu memperuntuk RM5,000 bagi satu keluarga untuk membaikpulih
rumah mereka dan bagi fasa pertama ia melibatkan 4,000 isi keluarga
melibatkan kos RM20 juta.
Najib berkata para peneroka berhak memperoleh nikmat yang dimiliki
ketika ini atas segala pergorbanan mereka membangunkan kawasan rancangan
tanah itu.
"Kita (rakyat Malaysia) juga berkongsi kekayaan dan mereka (peneroka)
mendapat rahmat kerana mereka telah berjuang gigih selama lebih setengah
abad, perjalanan mereka lama, mereka tabah, cekal, disiplin, dan hari
ini mereka berhak mengaut keuntungan itu," kataya.
Terdahulu ketika berucap, Najib berkata pelbagai tohmahan dilemparkan,
sebelum penyenaraiaan FGVH, yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu
yang tidak bertanggungjawab seperti mendakwa Felda bankrap dan
sebagainya.
"Kalau Felda bankrap, bagaimana nak senaraikan di Bursa Malaysia?
Perdana Menteri Qatar pun nak saham FGVH, saya tanya: Berapa nak?, dia
kata sebanyak mana yang saya boleh berikan kepadanya," katanya.
Beliau berkata jika orang luar dan syarikat-syarikat luar berebut-rebut
untuk memiliki saham Felda, para peneroka sepatutnya bersyukur kerana
mereka diberikan begitu sahaja saham berkenaan oleh Felda apabila
penyenaraian itu dibuat.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan dan Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad.- Bernama
No comments:
Post a Comment