Friday 20 July 2012

Karpal Mahu Pejabat Peguam Negara Timbang Semula Pertuduhan Hasutan Terhadapnya

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Peguam Karpal Singh mahu Pejabat Peguam Negara menimbang semula pertuduhan hasutan terhadapnya berikutan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948.

Karpal Singh didakwa mengeluarkan perkataan-perkataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak, tiga tahun lalu.

Jagdeep Singh Deo, yang mewakili Karpal Singh memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi Azman Abdullah bahawa pihak pembelaan mengemukakan sepucuk surat representasi kepada Pejabat Peguam Negara berhubung perkara itu pagi Jumaat.

Katanya pihak pembelaan mahu Pejabat Peguam Negara menimbang semula isu persetujuan untuk mendakwa Karpal Singh mengikut Seksyen 5 Akta Hasutan selaras dengan pengumuman Najib bahawa akta itu akan dimansuhkan.

Pada 11 Julai, Perdana Menteri mengumumkan bahawa Akta Hasutan akan dimansuh dan digantikan dengan akta baharu yang akan dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional.

Hari ini, mahkamah dijadual mendengar permohonan Karpal Singh untuk membatalkan pertuduhan hasutan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment