KEPALA BATAS: Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi kecewa
dengan tindakan kumpulan yang mengadakan perhimpunan 'Oren' kerana
menggunakan gambar beliau pada poster perhimpunan berkenaan.
Abdullah berkata, tindakan kumpulan itu menjatuhkan dan memburukkan imejnya sebagai bekas Perdana Menteri.
"Saya rasa tidak seronok langsung bila mereka (penganjur perhimpunan
oren) guna nama dan gambar saya dalam poster, sedangkan saya tiada
kaitan langsung dengan perhimpunan itu.
"Sepatutnya mereka tidak boleh buat macam itu dan jangan ambil
kesempatan. Saya sangat kecewa dengan tindakan berkenaan," katanya
kepada pemberita selepas menyampaikan cek pinjaman Majlis Amanah Rakyat
(Mara) di sini, hari ini.
Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan kumpulan
tertentu yang menggunakan gambar beliau dan tokoh veteran UMNO yang juga
Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, pada poster Himpunan
Oren.
Himpunan Oren anjuran Persatuan Anak Peneroka FELDA Kebangsaan
(Anak) yang disertai 12 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu sebagai
tanda bantahan terhadap penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd
(FGVH) di Bursa Malaysia.
Abdullah yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, beliau tidak pernah menentang penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia.
"Saya sentiasa menyokong usaha kerajaan untuk meningkatkan ekonomi
rakyat dan penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia adalah sesuatu yang
bagus," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment