KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak Rabu
mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji
dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan bahawa
kerajaan bersetuju memberi Bayaran Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada
pesara kerajaan.
Bayaran itu akan dibuat pada 9 Ogos ini, katanya dalam kenyataan di sini.
Pemberian bonus dan bayaran khas itu akan memanfaatkan seramai 1.27 juta penjawat awam persekutuan dan 657,000 pesara kerajaan.
Najib berkata pemberian bonus dan bayaran khas kewangan itu dibuat berdasarkan kedudukan dan kemampuan kewangan kerajaan.
Beliau berkata bayaran itu akan melibatkan anggaran perbelanjaan sebanyak RM2.2 bilion.
Najib berkata pemberian bonus dan bayaran khas itu merupakan
penghargaan kerajaan kepada seluruh penjawat awam dan pesara kerajaan.
"Kerajaan sentiasa prihatin dan sangat menitikberatkan kebajikan penjawat awam dan para pesara kerajaan," katanya.
Beliau berharap langkah itu dapat membantu mereka membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Najib berkata pembayaran bonus kepada penjawat awam itu bagi menghargai
sumbangan dan dedikasi mereka dalam melaksanakan program pembangunan
negara.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment