Friday 29 June 2012

PTPTN Lupus Pinjaman RM475 Juta Kepada 16,959 Graduan

TEMERLOH, 29 Jun (Bernama) -- Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melupuskan pinjaman pendidikan sebanyak RM475.046 juta kepada 16,959 graduan yang mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama sehingga 31 Mei lepas.

Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said berkata daripada jumlah itu, seramai 12,529 pelajar dikecualikan daripada membayar balik pinjaman bernilai RM359.26 juta apabila pinjaman mereka ditukarkan kepada biasiswa.

Katanya seramai 4,430 bekas pelajar tahun 2005, 2006 dan 2007 yang lulus cemerlang dengan mendapat Ijazah Sarjana kelas pertama turut menikmati pengecualian itu yang membabitkan peruntukan RM116.2 juta.

"Sebelum ini graduan cemerlang ini tidak mendapat pengecualian tersebut tetapi kerajaan baru-baru ini bersetuju untuk mengecualikan mereka daripada membayar balik pinjaman," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Wang Pendahaluan Pembiayaan (WPP) kepada 124 pelajar kawasan Parlimen Kuala Krau yang berjaya memasuki institusi pengajian tinggi awam tahun ini di sini, Jumaat.

No comments:

Post a Comment