SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan pertemuan
dengan semua parti politik di peringkat nasional dan negeri bulan depan
sebagai persiapan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), yang
disebut-sebut akan berlangsung selepas Aidilfitri.
"Salah satu pihak yang kami akan bertemu dan mengadakan penerangan
ialah parti-parti politik, ini akan dilakukan pada bulan depan," kata
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi
Sinar Harian Online.
Langkah itu diambil susulan selesainya sesi taklimat dan latihan kepada kesemua pengurus pilihan raya.
Sarawak adalah negeri terakhir terlibat dalam sesi taklimat dan
latihan. Sesi peringkat Sarawak diadakan sejak kelmarin mengikut zon dan
akan berakhir esok.
Wan Ahmad berkata, taklimat perlu diberikan kepada parti-parti politik
memandangkan pihak itu merupakan salah satu komponen penting dalam
sistem pilihan raya.
Selain itu katanya, banyak perkara baru akan diperkenalkan pada kali ini, termasuk penggunaan dakwat kekal.
“Oleh itu, wajar diadakan taklimat bagi mereka, di peringkat ibu pejabat dan juga di peringkat negeri,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment