Friday 29 June 2012

Kerajaan Pusat Lulus Pinjaman Mudah RM26.7 Juta Projek Bekalan Air Di Kelantan

BACHOK, 29 Jun – Kerajaan Persekutuan meluluskan pinjaman mudah RM26.7 juta kepada kerajaan negeri Kelantan untuk menaik taraf loji rawatan air bersih bagi kepentingan penduduk di sekitar Kota Baharu.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, projek itu membabitkan loji rawatan air di Pintu Geng, Kota Baharu.
Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata, peruntukan itu diluluskan pada 30 Mei lepas atas permintaan kerajaan negeri.
“Ia selepas diteliti serta merasakan ini sesuatu yang perlu disegerakan bagi kepentingan rakyat Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas menemui penduduk di Kampung Repet, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bachok berkata, sehingga ini kerajaan pusat telah meluluskan peruntukan kepada kerajaan Kelantan keseluruhannya berjumlah RM714.05 juta bagi tujuan yang sama.
Awang Adek berkata, kelulusan projek itu tiada kaitan dengan kepentingan politik Barisan Nasional (BN) walaupun ia hampir dengan proses pilihan raya umum ke-13.
Sebaliknya, katanya, ia berdasarkan keprihatinan kerajaan persekutuan terhadap nasib rakyat yang sedang menghadapi masalah untuk mendapatkan bekalan air bersih terutama pada musim kemarau.

No comments:

Post a Comment