Thursday, 28 June 2012

Bera :Bom disangka besi buruk

BERA – Sepasukan pekerja kontraktor projek pemasangan paip menemui sebutir bom lama tertanam di dalam tanam berdekatan laluan utama Kilometer 44 Temerloh- Bahau, kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Zahid Mohd Noor berkata, bom dipercayai jenis Eareal digunakan semasa perang dunia kedua seberat antara 20 hingga 30 kilogram itu dimusnahkan Unit Pemusnah Bom, Temerloh pada jam 3 petang.

Menurutnya, bom itu dijumpai sepasukan pekerja kontraktor yang sedang menggali lubang untuk menanam saluran paip kira-kira jam 10 pagi.
“Tiba di lokasi kejadian, kita mengesahkan ‘besi buruk’ disangka pekerja kontraktor itu adalah bom lama yang pernah digunakan semasa perang dunia kedua.

“Bagi tujuan keselamatan, kita meletupkan bom itu kerana tidak pasti sama ada ia masih aktif atau tidak,” katanya.

Difahamkan, bom itu ditemui kira-kira 1.2 meter dari aras bumi dengan ukuran 56 sentimeter (cm) sementara ukur lilit berukuran 51cm.

Mohd Zahid berkata, pihaknya tidak dapat memastikan bom itu dimiliki siapa berikutan ia sudah berkarat.

Katanya, kira-kira lima tahun lepas, pihaknya turut memusnahkan sebutir bom lama yang ditemui di sekitar kawasan berdekatan.

“Saya percaya, mungkin ada lagi bom-bom lama masih tertanam di sekitar kawasan terbabit.

“Kawasan ini sememangnya merupakan lokasi tentera menjatuhkan bom kerana dulu, ia adalah kawasan hutan yang sesuai dijadikan tempat persembunyian tentera,” katanya.

Beliau berharap orang ramai yang terjumpa dengan busi buruk menyerupai bom lama segera menghubungi polis untuk mengelak berlaku kejadian tidak diingini.

No comments:

Post a Comment