Friday 22 June 2012

Lynas: Perlu Rujuk Bukti Saintifik, Bukan Ikut Andaian - Najib

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata keraguan masyarakat berhubung aspek keselamatan operasi kilang memproses nadir bumi Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) harus berpaksikan kepada fakta saintifik, bukannya berdasarkan kepada andaian semata-mata.

Perdana Menteri yang juga Presiden Umno berkata kebimbangan yang ditimbulkan berdasarkan andaian tidak boleh dijadikan panduan kerana fakta saintifik jelas menunjukkan operasi kilang itu tidak akan memberi kesan terhadap keselamatan penduduk dan alam sekitar di kawasan itu.

"Berasaskan soal saintifik tidak ada apa-apa yang telah dibangkitkan yang boleh membawa kepada keraguan tentang keselamatan kepada penduduk di sana atau kesan kepada alam sekitar

"Maknanya kita utamakan soal keselamatan rakyat tetapi kita juga mesti membuat pertimbangan itu berdasarkan kepada fakta saintifik, bukan kepada soal kebimbangan atau soal imaginary fear atau pun pada soal sesuatu andaian," katanya pada sidang media selepas mempengerusi mesyuarat majlis tertinggi Umno di sini, Jumaat.

Beliau menjawab pertanyaan sama ada kerajaan yakin aspek keselamatan telah diberikan keutamaan dalam membenarkan operasi kilang berkenaan.

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) mengenai projek LAMP ketika membentangkan hasil laporannya di Dewan Rakyat Selasa lepas mengesyorkan supaya lesen pengendalian sementara (TOL) dikeluarkan bagi membolehkan kilang itu beroperasi.

Antara lain laporan itu turut mengesyorkan kilang berkenaan boleh memproses bahan mentah secara berperingkat dan terhad serta dikawal selia secara berterusan oleh agensi penguatkuasa.

Najib berkata keyakinan terhadap keselamatan operasi kilang itu yang diasaskan kepada bukti saintifik juga tidak terbatas dalam kalangan kerajaan sahaja sebaliknya turut diperakui anggota Parlimen pembangkang walaupun pendirian itu bertentangan dengan keputusan parti yang diwakilinya.

"Kita mesti asaskan kepada soal fakta yang saintifik dan antara orang yang menyatakan dengan jelas bahawa Lynas itu satu perusahaan yang selamat ialah Dr Che Rosli Che Mat, anggota Parlimen Hulu Langat dari PAS yang cukup yakin bahawa walaupun pendiriannya dengan parti lain tapi dia nyatakan sebagai seorang saintis tidak ada keraguan soal keselamatan di kilang Lynas," katanya.

Selain berpuas hati dengan pembentangan laporan PSC mengenai LAMP, Dr Che Rosli yang juga seorang pakar nuklear sekali lagi mengulangi pendiriannya sebelum ini dengan menjelaskan bahawa tahap radiasi projek kilang memproses nadir bumi di Gebeng, Pahang adalah di tahap yang rendah.



Pada Ogos tahun lepas, Dr Che Rosli mengakui bahawa projek Lynas adalah selamat dan tidak seperti dakwaan anggota Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang juga naib presiden Parti Keadilan Rakyat.

Mengenai tiga diplomat dari Singapura yang didakwa hadir pada perhimpunan haram Bersih pada 28 April lepas, Perdana Menteri berkata perkara itu sedang dikendalikan Kementerian Luar.

"Yang penting kita nak tentukan kesahihan laporan itu sama ada mereka hadir sebagai pemerhati atau terlibat dalam demonstrasi tersebut. Fakta itu yang perlu ditentukan," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment