GUA MUSANG, 22 Jun (Bernama) -- Anggota Parlimen Gua Musang Tengku
Razaleigh Hamzah meminta rakyat memberi kemenangan kepada Barisan
Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 untuk membolehkan kerajaan
meneruskan agenda pembangunan negara dengan lebih pesat dalam tempoh
beberapa tahun akan datang.
Justeru, beliau meminta mereka menilai kemajuan dan pembangunan yang dinikmati kini hasil pemerintahan kerajaan BN.
"Kemenangan pada PRU-13 itu terletak di tangan rakyat untuk membuat
keputusan, tetapi saya percaya rakyat akan membuat penilaian dan
menentukan keputusan terbaik kepada kerajaan sedia ada," katanya ketika
merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah
Kebangsaan Paloh 3 Jumaat.
Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri Galas Ab Aziz Yusof.
Tengku Razaleigh, yang juga Ketua Umno bahagian, berkata rakyat perlu
memahami perjuangan sebenar kerajaan sekarang yang lebih banyak membantu
mereka menikmati pelbagai kemajuan, termasuk dalam bidang pendidikan.
Beliau berkata kawasan Parlimen Gua Musang juga sudah menikmati banyak
projek pembangunan, termasuk beberapa sekolah menerima bangunan baru
yang serba lengkap dan selesa untuk pelajar.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment