Monday, 25 June 2012

KPDNKK Lancar Sistem Pemberitahuan Secara Sukarela Hak Cipta Bagi Bantu Penggiat Seni

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Penggiat seni kini boleh mendaftarkan karya masing-masing dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) untuk membuktikan keempunyaan terhadap karya di bawah Sistem Pemberitahuan Secara Sukarela Hak Cipta, yang dilancarkan Isnin.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Dato Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia merupakan suatu mekanisma pendaftaran yang membantu pemilik karya, sekiranya wujud sebarang pertikaian undang-undang terhadap karya seni mereka.

"Sistem ini bertujuan untuk mengesan siapa pemilik asal sesebuah karya... masalah timbul apabila ada pihak mengatakan karya itu hak mereka, wujud pertelingkahan berhubung siapa pemilik asal dan seterusnya berlanjutan sehingga ke mahkamah.

"Melalui sistem ini, pemilik hak karya tersebut boleh mendaftar dengan MyIPO dan pihak MyIPO akan mengeluarkan sijil yang mengesahkan mereka pemilik asal...ia akan jadi bahan bukti dan ini amat penting kerana dalam keadaan hari ini untuk menciplak sesebuah karya ia adalah begitu mudah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan sistem berkenaan pada majlis Hari Himpunan Bintang MyIPO KOSMO! 2012 di sini.

Pada majlis itu, beberapa artis turut diberi peluang mengadakan sesi soal jawab bersama menteri mengenai hak mereka seperti yang terkandung dalam Akta Hak Cipta (Pindaan) 2012 selain turut didedahkan mengenai manfaat akta itu bagi menjaga kebajikan mereka.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment