UMNO Bahagian Bera mewujudkan pangkalan data profil ahli dan keluarga
mereka bagi memudahkan sebarang bentuk bantuan serta perkhidmatan dapat
disalurkan dengan lebih efisyen.
Ketua UMNO Bahagian Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata,
maklumat itu penting untuk membolehkan parti itu mengetahui secara
terperinci mengenai latar belakang, sikap serta segala masalah berkaitan
ahli dan keluarga mereka.
Menurut beliau, melalui langkah itu pemimpin cawangan dapat mengumpul
maklumat ahli dan keluarga mereka sebelum menyalurkan kepada Biro
Keahlian UMNO Bahagian Bera untuk tindakan segera.
''Langkah itu untuk memastikan kebajikan ahli terjaga selain
meneruskan aktiviti turun padang bagi mengatasi masalah rakyat di
kawasan ini,'' katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan
dengan 200 pemimpin UMNO Bahagian Bera di Dewan UMNO di sini baru-baru
ini.
Ismail Sabri yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan berkata, pemimpin UMNO di peringkat cawangan diminta
jangan hanya memilih kelompok ahli atau kroni dalam penyampaian dasar
serta maklumat kerajaan.
Tegasnya, mereka perlu menyebarkan kepada semua rakyat supaya
mengetahui bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak amat serius dalam membela rakyat.
Menurut beliau, pemimpin terbabit perlu mengubah persepsi supaya
rakyat tidak melihat mereka sebagai kumpulan elit yang sukar untuk
didekati.
''Perjuangan untuk satu kelompok sahaja patut dihindari tetapi
sebaliknya perjuangan UMNO adalah perjuangan tulen yang membela rakyat
tanpa mengira kaum atau bangsa," katanya.
No comments:
Post a Comment