Saturday, 16 March 2013

@ismailsabri60 - Berebut Kerusi Bukti Pembangkang Tidak Sepakat

BERA, 16 Mac (Bernama) -- Perebutan kerusi di kalangan parti pembangkang memperlihatkan mereka sebenarnya tidak sepakat dan hanya mementingkan agenda politik masing-masing, kata Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata masalah tersebut berlaku di seluruh negara.

"Dari dulu lagi saya sudah tahu pakatan antara mereka hanyalah untuk menjadikan Umno sebagai sasaran, sedangkan masing-masing mempunyai perjuangan sendiri, ideologi tersendiri dan tidak mungkin akan dapat bersatu sebagai sebuah pakatan yang kuat seperti Barisan Nasional," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran projek menaik taraf Bekalan Air Pahang Zon II di Felda Gugusan Bera semalam.

Turut hadir Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF), Tan Sri Rozali Ismail.

Ismail Sabri diminta mengulas mengenai isu perebutan kerusi antara PAS dan DAP di Bera.

Mengenai projek penukaran paip dan menaik taraf loji air Bera itu, beliau yang juga Anggota Parlimen Bera berkata projek berkenaan dijangka siap dalam tempoh enam bulan lagi.

Katanya apabila siap, ia akan memberi manfaat kepada kira-kira 100,000 penduduk.

"Projek bernilai RM400 juta ini akan meliputi kerja-kerja penanaman paip baharu sejauh 450 kilometer bagi tiga zon iaitu zon satu yang meliputi Jerantut, Temerloh dan Raub, zon dua terdiri daripada Bera dan Jengka manakala zon tiga terdiri daripada kawasan Kuantan, Pekan dan Rompin," katanya.

-- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment