KUALA LUMPUR, 27 Mac – Kerajaan Barisan Nasional (BN) masih lagi
merupakan pemerintah yang sah di negara ini biarpun DUN Negeri Sembilan
telah terbubar secara automatiknya, demikian kata pensyarah Pusat
Pengajian Sejarah, Politik Dan Strategi Fakulti Sains Sosial dan
Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Shamsul
Adabi Mamat.
Menurut beliau, biarpun DUN Negeri Sembilan telah dibubarkan, namun
itu tidak bermakna kerajaan yang ada pada hari ini sudah luput tarikh
pemerintahannya.
“Jika ada suara-suara yang mengatakan kerajaan BN hari ini tidak sah
berdasarkan pembubaran DUN Negeri Sembilan, ini tidak benar. Bagi saya
ini semua satu provokasi pihak-pihak tertentu saja. Tarikh luput
kerajaan hari ini adalah pada 28 April ini.
“Kabinet Malaysia secara otomatiknya terbubar pada 28 April ini dan
selepas tarikh pembubaran tersebut, SPR masih memberikan tempoh selama
60 hari lagi untuk kita melaksanakan Pilihanraya Umum,” ujarnya kepada
UMNO-Online di sini hari ini.
Jelas beliau, begitu juga dengan Kerajaan Negeri Sembilan sedia ada
masih sah mengikut sistem demokrasi berparlimen atau Westminster yang
diamalkan di negara ini, walaupun selepas DUN terbubar secara automatik.
“Ramai rakyat keliru tentang hal ini. Untuk makluman, tarikh bubar
DUN dikira bermulanya tarikh persidangan DUN yang pertama bagi sesebuah
negeri itu. Manakala, bagi pembubaran Parlimen pula, ia juga dikira
daripada tarikh mula Parlimen bersidang iaitu pada 28 April.
“Justeru itu, sebelum tarikh pembubaran Parlimen tersebut, kerajaan
yang memerintah hari ini masih lagi sebuah kerajaan yang sah mengikut
perlembagaan undang-undang Malaysia. Cakap-cakap mengenai kerajaan hari
ini tidak sah bagi saya hanyalah cakap-cakap dan provokasi politik
menjelang pilihanraya saja,” jelasnya. -MediaUMNO
No comments:
Post a Comment