Sunday, 13 January 2013

#bera Peniaga ikan kena kompaun

Kakitangan pejabat PDNKK menjalankan operasi di Pasar Malam Bandar Bera, dekat sini
BERA – Akibat menggunakan penimbang yang tidak disahkan, dua peniaga ikan di pasar malam dekat Bandar Bera dikenakan kompaun berikutan kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.

Kedua-dua peniaga berusia lewat 30-an yang menjalankan perniagaan di sudut  tepi tapak pasar malam itu turut diberi amaran kerana tidak mempamerkan tanda harga kepada pengguna.

Ketua Cawangan, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK), Abd Mubin Ahmad berkata, peniaga itu boleh didenda sehingga RM4,000 kerana kesalahan terbabit.

Menurutnya, alat timbang perlu disahkan setiap 12 bulan bagi memastikan ketepatan alat penunjuk angka.

“Jika alat timbang gagal disahkan, kemungkinan akan ketidakseimbangan yang merugikan peniaga dan pengguna,” katanya kepada Sinar Harian selepas melakukan pemeriksaan di pasar malam itu, semalam.

Justeru, beliau menasihatkan peniaga supaya mematuhi arahan yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang.

Abd Mubin berkata, operasi itu seiring dengan pelaksanaan gaji minimum yang diumumkan kerajaan bermula 1 Januari lalu bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga barang..

Katanya, pada operasi yang bermula kira-kira jam 6.30 petang itu, pihaknya turut memberi amaran kepada peniaga yang gagal mempamerkan tanda harga.

“Peniaga mesti pamer tanda harga bagi membolehkan pengguna mengetahui harga pasaran selain mengelak peniaga dikenakan tindakan sekiranya gagal berbuat demikian.

“Operasi ini akan dilakukan berterusan termasuk di pasar pagi, pasar malam atau pasar setiap Sabtu dan Ahad di seluruh daerah ini,” katanya.

Sumber : sinar harian

No comments:

Post a Comment