Wednesday, 20 March 2013

Siasat Dakwaan Persekongkolan Ahli Politik Malaysia Dengan Pengganas Kiram

mana-mana pihak yang merancang dan melakukan konspirasi serta pembelotan kepada kegiatan militan perlu segera dikenakan tindakan di bawah Undang-Undang Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 bagi melindungi negara ini daripada ancaman pengganas.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, sudah sampai masanya penguatkuasaan undang-undang tersebut dilakukan memandangkan keselamatan dan kedaulatan Malaysia telah diceroboh secara terbuka oleh kumpulan militan yang berpangkalan di Selatan Filipina.

Beliau tidak menolak kemungkinan terdapat ‘orang dalam’ yang mempunyai pengaruh politik yang sanggup belot dengan menyalurkan pelbagai kemudahan termasuk dari segi sumber kewangan sepertimana yang sedang berlaku di Lahad Datu, Sabah.

“Mungkin ada pemimpin pembangkang secara tidak langsung bersekongkol dengan kumpulan militan Selatan Filipina yang kini menceroboh Lahad Datu, mereka harus segera disiasat dan dikenakan tindakan tegas,” ujarnya.

Justeru kata beliau, langkah penguatkuasaan itu penting bagi mengekang kegiatan seseorang atau kumpulan tertentu yang mahu menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara ganas dan tidak berlandaskan kepada Perlembagaan.

“Dulu kita ada ISA, kita tegas dengan akta tersebut bagi menjamin ketenteraman awam dan negara, oleh sebab ISA sudah dimansuhkan, kita harap talibarut dan pembelot kepada pengganas Sulu wajib dikenakan tindakan tegas di bawah undang-undang tersebut,” katanya.

Baru-baru ini, Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 bagi menggantikan ISA 1960, sepertimana yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada September 2012.

“Umum mengetahui tahap kemiskinan keluarga Jamalul Kiram III, tetapi bagaimana mereka mampu melakukan serangan gerila terhadap Lahad Datu dengan kelengkapan persenjataan yang cukup di samping kemudahan lain ternmasuk bekalan makanan, pergerakan dan logistik,” ujarnya.

Oleh sebab itu katanya, ‘keberanian’ Jamalul Kiram III tidak mustahil dilindungi oleh pihak tertentu membabitkan pemimpin politik tempatan yang sememangnya berhasrat untuk menghancurkan kestabilan dan keamanan negara ini.

Katanya, isu tuntutan Kesultanan Sulu terhadap Sabah tercetus sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 semakin menguatkan lagi andaian bahawa insiden di Lahad Datu telah dirancang terlebih awal bertujuan untuk merampas kuasa secara keganasan.

Beliau menjelaskan, kemungkinan tersebut tidak harus diketepikan kerana parti-parti pembangkang di negara ini sedar bahawa untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) menerusi proses pilihanraya adalah terlalu sukar dan tidak akan menjadi kenyataan.

Oleh sebab itu kata Syed Ali lagi, kemungkinan mereka bersekongkol dengan pihak asing untuk mengganggu-gugat kestabilan negara bertujuan meruntuhkan kerajaan sedia ada dengan menjadikan Lahad Datu, Sabah sebagai ‘sasaran awal’.

Justeru tegas beliau, pasukan risikan keselamatan negara perlu meningkatkan lagi tahap keupayaan mereka bagi mengesan kegiatan petualang-petualang dalam negara yang kemungkinan turut bersubahat dengan pihak penceroboh atau pengganas.

“Dalam kita melengkapkan tahap keselamatan di Lahad Datu bagi membanteras kehadiran pengganas Sulu, aktiviti dalaman pihak pembangkang juga harus diberikan perhatian serius,” tegasnya.

Syed Ali juga tidak menolak kemungkinan pengganas Sulu mendapat bantuan daripada pihak luar negara yang bertujuan untuk menghancurkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang masih bertapak kukuh di rantau Asia.

“Kita juga kena tengok peta rantau Asia, mana ada lagi negara yang mampu mempertahankan daulah Islam selain Malaysia?”, soal beliau.

Mengulas ancaman terbaru ketua pengganas Sulu, Jamalul Kiram III yang mengisytiharkan perang gerila dan tuduhan Ketua Pembebasan Kebangsaan Mora (MNLF), Nur Misuari bahawa Malaysia menjajah Sabah dan Sarawak, Syed Ali berkata ancaman tersebut tidak boleh dipandang ringan.

Bagaimanapun beliau yakin, provokasi tersebut tidak akan melemahkan tahap kemampuan sebenar pasukan keselamatan negara khususnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan polis.

“Mereka umumkan perang gerila, saya penuh yakin tentera kita sudah bersedia memasuki fasa sebenar perperangan bagi mempertahankan maruah dan kedaulatan tanahair,” tegasnya sambil menambah kemampuan dan pengalaman pasukan keselamatan negara tidak harus diragui.

Tambah beliau lagi, tuduhan Nur Misuari itu juga tidak berpegang kepada fakta perundangan mengenai hak Malaysia ke atas Sabah termasuk Sarawak.

“Umum mengetahui Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan mempunyuai hubungan baik dengan Misuari dan mereka pernah bertemu, mungkin ada yang tersirat di sebalik itu, ini yang kena siasat,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menyeru seluruh rakyat bersatu hati dan mengekalkan semangat patriotik untuk mempertahankan kedaulatan negara dari sebarang ancaman musuh sama ada dari dalam dan luar negara. umnobahagiancheras

No comments:

Post a Comment