Wednesday, 20 March 2013

Anwar Sambut Kenyataan Nur Misuari

AIDCNews – 20/03/13 – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut kenyataan Ketua MNLF (Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro), Nur Misuari berkenaan dengan tuntutan Sabah dan Sarawak.

Anwar seperti dilaporkan Antarapos walaupun bernada tidak setuju dengan kenyataan Nur Misuari, namun menegaskan isu rundingan itu berkenaan tuntutan itu boleh diteruskan oleh kerajaan Filipina.

Sebaliknya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa Sabah selama-lamanya merupakan sebahagian daripada Malaysia dan perkara itu tidak perlu dirunding lagi kerana rakyat Sabah ialah warganegara Malaysia.

Nur Misuari dalam temubual bersama Al Jazeera, beliau menuduh Kuala Lumpur menjajah Sabah dan Sarawak, selain itu beliau menuduh Malaysia memecah perpaduan bangsa Moro di Selatan Filipina, apabila menyokong MILF (Barisan Pembebasan Islam Moro ) dalam rundingan damai dengan kerajaan Filipina.

“MILF adalah alat penjajahan Malaysia dan diatur oleh negara itu. Kuala Lumpur ialah dalang di sebalik MILF.

“Maaf kerana terpaksa menyatakan kebenaran dalam masalah ini. Jika Malaysia tidak dibabitkan, saya fikir kami dengan segera dapat menyelesaikan masalah itu dengan kerajaan Filipina,” katanya

Misuari berkata, perjanjian damai antara MILF dan kerajaan Filipina yang dijangka dimuktamadkan pada bulan depan adalah helah Malaysia untuk memperkuatkan pengaruhnya di Sabah.

Ketua MNLF itu turut mencabar Malaysia untuk keluar dari Sabah dan membuktikan tuntutan wilayahnya menerusi proses undang-undang.

Misuari turut menegaskan tentangannya kepada rundingan damai MILF dan menyatakan MNLF telah pun menandatangani perjanjian dengan kerajaan Filipina di bawah pentadbiran berbeza di Manila.

Perjanjian itu diadakan di antara MNLF diketuai Misuari dengan kerajaan Filipina pada 1976 semasa zaman Presiden Ferdinand Marcos; 1987, semasa Presiden Corazon Aquino dan pada tahun 1996 pada zaman Presiden Fidel V. Ramos.

“Itu adalah perjanjian damai yang perlu dilaksana terlebih dahulu dan sesiapa yang datang dengan perjanjian baharu adalah perosak,” ujarnya.

Misuari diterima baik oleh pentadbiran Corazon Aquino dan Fidel V. Ramos sehingga beliau mewakili Ketua MNLF dilantik sebagai gabenor Mindanao pada tahun 1996.

Jawatan Misuari sebagai Gabenor Mindanao masih kekal walaupun Joseph Estrada mengambil alih jawatan pada tahun 1998-2001, namun jawatannya tergugat dan dilucutkan apabila Gloria Macapagal-Arroyo mengambil alih Presiden Filipina pada Januari 2001.

Pentadbiran Arroyo menuduh Misuari korup dan salah guna kuasa sepanjang menjadi Gabenor Mindanao pada 1996-2001.

“Masalah Misuari bermula pada 19 November 2001 apabila Misuari, bekas Ketua MNLF mengisytiharkan perang ke atas kerajaan Arroyo dan melancarkan gerakan gerila bersenjata dari pasukan MNLF yang setia kepadanya, menyerang ibu pejabat Tentera Darat di Jolo, Sulu menyebabkan kira-kira 100 orang mati..turut tercedera termasuk orang awam.

“Serangan itu dilancarkan pada hari ketiga bulan Ramadan, sebagai usaha untuk mengganggu pilihanraya di Wilayah Autonomi Muslim Mindanao (ARMM) yang dijadualkan pada 26 November. Misuari berusaha untuk mengacau bilau pilihanraya di mana untuk membolehkan beliau dilantik semula menjadi Gabenor ARMM.

“Beberapa hari selepas serangan itu, Misuari melarikan diri ke Malaysia, tetapi telah ditangkap bersama enam pembantu beliau pada malam pemilihan ARMM di Pulau Jampiras, Sabah, Malaysia,” lapor Ann Bernadette S. Corvera, Philstar.com.

No comments:

Post a Comment