Pasukan keselamatan dalam Ops Daulat tidak akan diundurkan - KPN
Semporna: Pasukan keselamatan yang ditugaskan dalam Ops Daulat tidak
akan diundurkan walaupun keadaan di kawasan operasi sudah pulih dan
kembali seperti biasa.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail
Omar, berkata pihaknya akan menambah lagi aset dan kekuatan sedia ada
bagi memastikan keadaan keselamatan di Semporna dan Lahad Datu yang
terbabit dalam operasi berkenaan dikukuhkan, terutama menjelang Pilihan
Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Langkah itu, katanya, bagi meyakinkan rakyat bahawa tahap keselamatan
mereka terus diberi perhatian, meskipun operasi penggeledahan dan
pembersihan pengganas di kawasan Ops Daulat sudah selesai.
"Kita tidak akan mengundurkan pasukan keselamatan dari kawasan ini,
malah saya ada rancangan membawa masuk pasukan tertentu dari Kuala
Lumpur bagi menambah lagi kekuatan kita.
"Pada masa sama,
Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM) juga sudah mula digerakkan
untuk memperkukuhkan lagi keselamatan di pantai timur Sabah.
"Semua ini adalah untuk menjaga kepentingan rakyat di Sabah," katanya
selepas mengunjungi Sitti Bandorah Mahalil, balu Allahyarham Sarjan Aziz
Sarikon yang terkorban dalam serangan hendap pengganas di Kampung
Simunul pada 2 Mac lalu, di sini, hari ini.
No comments:
Post a Comment