Thursday, 21 March 2013

Lebuhraya Pantai Timur dinaik taraf libatkan kos RM20 juta


KUALA LUMPUR, (Bernama) - Pemegang konsesi Lebuh raya Pantai Timur (LPT), ANIH Bhd memperuntukkan RM20 juta untuk menaik taraf hentian sebelah (HS) dan kawasan rehat dan rawat (RSA) di sepanjang lebuh raya itu, yang akan menggunakan tema pusat peranginan kampung. 
Pengarah ANIH Bhd Ir Wan Razali Wan Muda berkata kerja menaik taraf itu, yang akan menampilkan ciri-ciri nyaman suasana kampung, sesuai dengan imej LPT yang menghubungkan negeri-negeri di pantai Timur, yang kaya dengan pusat peranginan. 
Katanya kerja-kerja itu, yang dilaksanakan secara berperingkat-peringkat, dijangka siap dalam tempoh dua tahun, bermula dari RSA Temerloh mulai 1 April hingga ke Gambang, pada suku ketiga tahun ini. 
"Kemuncaknya adalah proses menaik taraf RSA Genting Sempah secara besar-besaran pada tempoh yang sama," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 
"ANIH Bhd memohon kerjasama dan sokongan pengguna berikutan sedikit kesulitan dalam tempoh kerja kerana ia bertujuan untuk memberi keselesaan pengguna pada masa akan datang," kata Wan Razali. 
Proses menaik taraf itu akan menitikberatkan kemudahan yang lebih selesa dan mesra Orang Kurang Upaya (OKU), katanya. 
Pada peringkat pertama, kemudahan tandas, surau dan ruang pejalan kaki di kawasan rehat dan rawat Temerloh akan ditutup kepada pengguna lebuh raya dari 1 April sehingga Julai 31. 
Bagaimana pun, gerai makanan dan buah-buahan serta stesen petrol akan beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh itu. Pengguna disarankan menghubungi Hotline LPT di talian 09-547 9111 untuk sebarang pertanyaan.

No comments:

Post a Comment