Sunday 17 March 2013

LAHAD DATU: JIHAD MENENTANG GOLONGAN BUGHAT

 oleh : Ustaz Idris bin Sulaiman

Islam telah memberi panduan yang jelas dalam permasalahan yang membabitkan golongan pengganas yang memberontak terhadap pemerintah Islam yang sah, tidak kira sama ada pemerintah Islam di negaranya atau di negara lain. Dukacitanya, apa yang berlaku di Lahad Datu jelas menunjukkan bahawa golongan pengganas tersebut termasuk dalam kategori ini yang diistilahkan sebagai ‘Bughat’ (pemberontak). Mereka juga boleh dikategorikan sebagai Khawarij kerana menentang Kerajaan Islam Malaysia yang sah dan diiktiraf.
Kerajaan Malaysia dilihat telah mengambil jalan islah dengan sebaik-baiknya dalam berdepan dengan kaum Bughat ini. Pendekatan kerajaan Malaysia yang telah berusaha untuk menyelesaikan isu ini dengan cara yang baik harus diiktiraf dan dipuji. Namun seperti yang kita saksikan, mereka tetap berkeras hendak meneruskan agenda untuk mengambil semula tanah yang mereka dakwa sebagai milik mereka.
Perbuatan mereka ini bertentangan dengan Syariat Islam. Kita tidak membahaskan daripada sudut sejarah sebaliknya apa yang lebih penting kita mahu melihatnya daripada sudut hukum Islam. Dalam Islam, sesebuah kerajaan Islam yang sudah bertapak di suatu tempat sama sekali tidak boleh diturunkan atau dilawan atas apa jua alasan sekali pun; sama ada dengan dakwaan ia kerajaan yang zalim, melakukan penyelewengan dan sebagainya atau atas dakwaan bahawa kerajaan tersebut telah mengambil tanah yang bukan miliknya. Alasan-alasan seperti ini sama sekali tidak akan menjustifikasikan perlakuan mereka.
Syarak menetapkan bahawa sekiranya sesebuah kerajaan Islam sudah bertapak di sesebuah tempat maka penduduk di tempat itu perlu taat kepada kerajaan tersebut manakala umat Islam di tempat lain perlu mengiktirafnya.
Kerana itu kita katakan sebagaimana negara Malaysia tidak boleh memerangi negara Islam lain walau dengan apa jua alasan, begitu juga umat Islam di negara lain tidak boleh datang ke Malaysia untuk memerangi negara ini walau dengan apa jua alasan. Apatah lagi kalau atas alasan keduniaan untuk merebut-rebut tanah yang didakwa sebagai milik nenek-moyang mereka. Jelas alasan seperti ini menampakkan kejelekan orangnya kerana mereka sanggup menghuru-harakan negara saudara seIslam mereka sehingga mengakibatkan pertumpahan darah semata-mata kerana ingin mendapatkan habuan dunia tanpa mengira soal hukum Syarak.
Golongan pemberontak perlu ditentang
Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala, maksudnya: “Sekiranya ada dua golongan daripada orang-orang mukmin yang berbalah maka damaikanlah di antara keduanya. Tetapi sekiranya salah satu daripada keduanya bersikap melampau terhadap yang lain, maka perangilah golongan yang melampau itu sampai ia kembali kepada perintah Allah.” (Surah Al-Hujurat, 49: 9)
Jelas kepada kita bahawa kedua pihak di Lahad Datu adalah orang Islam. Allah memerintahkan supaya didamaikan antara keduanya, dan kita melihat bahawa kerajaan Malaysia telah berusaha ke arah itu. Lalu Allah mengatakan, sekiranya salah satu daripada dua puak itu bersikap melampau yakni tidak mahu menyelesaikan dengan cara yang baik, maka perangilah golongan yang melampau itu sehingga mereka kembali kepada perintah Allah. Maka menjadi tanggungjawab kita untuk memerangi kaum pemberontak ini kerana jelas mereka ingin membawa kerosakan di atas muka bumi.
Mempertahankan negara adalah jihad
Harus kita jelas bahawa jihad bukan sahaja untuk mempertahankan negara Islam yang diserang oleh orang kafir, tetapi juga ketika ia diserang oleh golongan Bughat (pelampau) yang tidak menghiraukan kehormatan darah saudara seIslamnya. Mereka juga perlu diperangi seperti mana yang telah dilakukan oleh Saidina Ali bin Abi Thalib radhiyallahu ‘anhu apabila beliau memerangi kaum Bughat daripada kalangan Khawarij pada zamannya.
Ini adalah satu bentuk jihad daripada kategori jihad mempertahankan diri. Maka dalam Jihad Pertahanan kita disyariatkan supaya mempertahankan negara kita dengan segala cara yang mungkin; dengan apa jua tenaga dan senjata yang ada, dan dengan segala kemampuan yang ada. Golongan Bughat ini perlu ditentang dan dihapuskan kerana mereka adalah kaum yang ingin menimbulkan huru-hara di negara kita.
Mereka yang gugur di medan perang mati syahid
Tidak ada keraguan bahawa anggota keselamatan polis dan tentera yang gugur di medan perang kerana menentang golongan Bughat ini adalah syahid kerana mereka mati mempertahankan negara Islam dan rakyat Islam di Malaysia.  Sejauh mana keikhlasan mereka berjuang adalah urusan hati yang hanya diketahui oleh Allah. Kita hanya boleh  menghukum secara zahir. Apa yang pasti mereka telah gugur kerana mempertahankan negara Islam Malaysia. Kerana itu mereka dikategorikan sebagai mati syahid.
Maka bagi mereka yang gugur mati syahid di medan perang, Syarak menetapkan bahawa pakaian mereka tidak perlu ditanggalkan, tidak perlu dimandikan dan tidak perlu dikafankan. Bahkan mereka tidak perlu disolatkan. Hal ini sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi sallallahu alaihi wasallam terhadap para Sahabat yang gugur syahid dalam Perang Uhud di mana Jabir r.a. mengatakan bahawa “Rasulullah sallalahu alaihi wasallam memerintahkan agar mereka ditanam bersama darah mereka tanpa dimandikan atau disolatkan” (Riwayat Bukhari). Ini kerana sebagaimana dalam hadis lain, di Akhirat kelak golongan syuhada ini akan dibangkitkan dengan kesan-kesan luka mereka di mana darah mereka terus mengalir berwarna merah tetapi baunya bau kasturi.
Walaupun tidak wajib disolatkan, tetapi hal ini tidak menafikan bahawa solat jenazah kepada mereka adalah dibolehkan, cuma hukumnya tidak wajib. Hal ini seperti mana yang dilakukan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam terhadap para Sahabat yang gugur syahid dalam perang Uhud di mana Baginda hanya solat kepada sebahagian mereka sahaja seperti jenazah bapa saudaranya, Hamzah bin Abdul Mutthalib r.a.
Larangan meletakkan gelaran ‘Asy-Syahid’
Walaupun mereka yang gugur di medan perang dikategorikan sebagai mati syahid tetapi adalah menjadi prinsip Ahli Sunnah wal Jamaah untuk tidak memberikan mereka gelaran ‘Asy-Syahid’. Ini kerana kita hanya boleh berharap serta berdoa kepada Allah agar mereka tergolong di kalangan para syuhada. Adapun kita menyatakan secara yakin dan pasti bahawa mereka syahid, hal ini tidak dibolehkan.
Ini yang dimaksudkan oleh Imam Bukhari tatkala dia meletakkan judul “Bab Tidak Menyatakan Si Fulan Syahid” dalam kitab Sahihnya. Ini kerana urusan Syurga dan Neraka adalah milik Allah. Manakala perbuatan kita memberi gelaran ‘Asy-Syahid’ kepada seseorang individu menggambarkan seolah-olah kita mendahului hukum serta ketetapan Allah dalam menentukan bahawa mereka akan menjadi penghuni Syurga secara pasti. Maka perlu dibezakan antara kita mendoakan agar Allah menerima mereka sebagai syuhada dan perbuatan memberi mereka gelaran ‘Asy-Syahid’.
Kita hanya boleh menghukum mereka secara zahir. Kerana di samping kita mengurus jenazah mereka sebagai orang yang mati syahid, kita juga mendoakan agar Allah menerima mereka sebagai syuhada.
Adapun meletakkan gelaran ‘Asy-Syahiid’, hal ini seolah-olah kita sudah mengetahui secara pasti bahawa mereka akan menjadi penghuni Syurga. Perbuatan seperti ini jelas ditegah kerana hal ini termasuk dalam ilmu ghaib yang hanya diketahui oleh Allah Ta’ala.
Kita mendoakan agar anggota-anggota polis dan tentera kita yang gugur di Lahad Datu digolongkan oleh Allah sebagai orang yang mati syahid.
Jenazah golongan Bughat
Adapun jenazah golongan Bughat (pemberontak) atau Khawarij ini, perlu untuk kita bersikap adil dan jangan kita melampaui batas. Ini kerana Syariat sentiasa menuntut kita sebagai orang Islam supaya berlaku adil dan bertindak di atas garis panduan Syarak walaupun terhadap musuh-musuh kita.
Apa yang pasti, sekiranya golongan Bughat ini adalah orang Islam, perbuatan mereka melakukan pemberontakan dan mengangkat senjata terhadap saudara sesama Islam adalah salah dan bertentangan dengan Islam, namun ia tidaklah menjadikan mereka kafir terkeluar daripada Islam.
Oleh itu, mayat mereka hendaklah diuruskan seperti jenazah orang Islam yang lain; yang ada kehormatan dan ada hukum-hakam yang perlu dijaga. Walaupun kita tidak setuju dengan apa yang mereka lakukan, tetapi hal ini tidak menafikan hakikat bahawa mereka adalah orang Islam yang perlu dijaga haknya. Wallahu a’lam.
Penulis adalah Pegawai Penyelidik di Kedutaan Arab Saudi merangkap Ahli Majlis Syura Pertubuhan Ilmuwan Malaysia (iLMU)
Artikel ini disiarkan di akhbar pada Sabtu, 16 Mac 2013



No comments:

Post a Comment