Wednesday 20 March 2013

KR1M: Pendapatan boleh guna rakyat meningkat

KUALA LUMPUR — Pelbagai kedai jenama 1Malaysia terbukti dapat meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat kerana ia menawarkan barangan berkualiti dengan harga lebih rendah.

Pensyarah Ekonomi Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Dr. Shazali Abu Mansor berkata, kesannya rakyat boleh berjimat-cermat semasa berbelanja dan mampu membeli keperluan tambahan lain hasil penjimatan tersebut.
Ia memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat termasuk yang berpendapatan tinggi, sederhana dan rendah kerana ia terbuka kepada semua rakyat, katanya ketika mengulas mengenai Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (GTP) yang dibentangkan Perdana Menteri semalam.
Datuk Seri Najib Tun Razak antara lain menyentuh mengenai kedai jenama 1Malaysia yang memberi alternatif kepada rakyat untuk mendapatkan keperluan harian dan perkhidmatan dengan kos secara puratanya 20 hingga 40 peratus lebih rendah dari harga pasaran.
Kedai tersebut termasuk Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Kedai Ikan Rakyat 1Malaysia (KIR1M), Kedai Kain Rakyat 1Malaysia (KKR1M), Kedai Buku 1Malaysia (KB1M) dan Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M).
Sementara itu, beberapa peniaga dan pengguna kedai 1Malaysia menyifatkan kedai di bawah jenama 1Malaysia adalah langkah transformasi murni yang dilakukan kerajaan kepada rakyatnya.
Rata-rata mereka memberitahu, keprihatinan kerajaan jelas dibuktikan apabila kebajikan rakyat tidak pernah dilupai meskipun kerajaan sentiasa berusaha keras menjadikan Malaysia sebuah negara maju. - Bernama

No comments:

Post a Comment