PARTI Keadilan Rakyat (PKR) sememangnya sebuah parti yang
'aneh'. Ia ditubuhkan bukan atas dasar perjuangan tetapi lahir berikutan
perasaan tidak puas hati, marah dan kebencian berikutan pemecatan Datuk Seri
Anwar Ibrahim daripada kerajaan dan UMNO pada tahun 1998.
Sejak tarikh berkenaan arena politik negara tidak lagi
tertumpu kepada DAP atau Pas, biar pun kedua-dua parti itu jauh lebih berusia.
Percaturan politik pembangkang lebih berkisar kepada apa
yang dirancang oleh PKR manakala DAP dan Pas akan bersetuju sahaja memandangkan
mereka mempunyai hasrat yang sama iaitu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional
(BN) dan meletakkan Anwar sebagai Perdana Menteri.
Ketika DAP dan Pas dilihat menjalin kerjasama yang cukup
aneh berikutan perbezaan ideologi antara mereka, perjalanan politik PKR pula
cukup 'aneh' tetapi penuh kepincangan. Berikut penulis paparkan antara
'keanehan' dan kepincangan tersebut:
Paling berkuasa bukan Presiden
Semua orang tahu biar pun Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail
adalah Presiden namun beliau seolah-olah tidak ada apa-apa kuasa.
Segala-galanya diuruskan oleh suaminya, Anwar. Apa juga isu
berkaitan PKR amat sukar sekali kita hendak mendengar Wan Azizah memberikan
ulasan atau membuat kenyataan. Beliau hanya tampil jika ada isu melibatkan
suaminya.
Berikutan itu, orang ramai tidak pernah melihat Wan Azizah
mempunyai apa-apa kekuatan atau kelebihan. Apa yang mereka tahu, Wan Azizah
hanya sekadar Presiden dalam catatan sebuah organisasi dan pernah melakukan
pengorbanan terbesar dalam karier politiknya apabila meletakkan jawatan Ahli
Parlimen Permatang Pauh bagi memberi laluan kepada suaminya bertanding.
Sikap Wan Azizah inilah yang memungkinkan muncul desakan
supaya beliau mengundur diri secara terhormat.
Berjaya menanam politik kebencian
Ini boleh dianggap kejayaan terbesar bagi PKR kerana
pemimpin-pemimpin mampu memainkan peranan untuk menanam kebencian rakyat kepada
kerajaan BN.
Apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan BN diperlekeh dan
dipersendakan. Tidak pernah sekali pun kita mendengar PKR memuji usaha-usaha
kerajaan BN. Sebaliknya, apa kita sering dengar setiap usaha itu akan
diperlekehkan dan kononnya mereka boleh melakukan lebih baik lagi.
Lebih hebat mereka juga sering mendakwa apa yang dilakukan
oleh BN menciplak idea mereka.
Parti pertama di Malaysia tiga beranak memegang jawatan
penting dalam parti
Ini juga satu keunikan, selain si bapa, Anwar menjadi
Penasihat, si ibu, Wan Azizah menjadi Presiden, si anak pula, Nurul Izzah
menjadi Naib Presiden. Jika keadaan ini berlaku dalam UMNO sudah pasti, parti
itu akan diserang habis-habisan oleh pembangkang atas alasan mengamalkan
nepotisme dan kronisme.
Masih kekal berpolitik, biar pun dikaitkan dengan
kontroversi
Walaupun isu melibatkan pemimpinnya mencetuskan polemik ada
antara melibatkan soal moral. Namun pemimpin-pemimpin PKR bijak mempertahankan
diri. Mereka begitu tegas menyatakan tidak bersalah dan apa yang berlaku ke
atas mereka adalah konspirasi dan fitnah UMNO serta media arus perdana.
Berjaya mempengaruhi Pas untuk menjadi 'pak turut'
Inilah kehebatan PKR. Biar pun Pas ditubuhkan sejak 1951 dan
mempunyai rekod politik yang agak hebat namun parti yang suatu ketika
memperjuangkan negara Islam itu 'tunduk' kepada pengaruh politik PKR.
Pemimpin-pemimpin PKR berjaya mempengaruhi pemimpin-pemimpin
Pas termasuk dalam kalangan ulama untuk mengikut rentak politik mereka sehingga
Pas dilihat sanggup mengorbankan hatta prinsip perjuangannya semata-mata
termakan janji berkuasa bersama PKR dan DAP.
Malahan PKR juga berjaya memainkan peranan sehingga
memungkinkan Pas yang suatu ketika dahulu menuduh UMNO kafir kerana bekerjasama
dengan MCA dan MIC, bersedia berpeluk erat dengan DAP.
Walaupun pemimpin-pemimpin DAP secara tegas menolak
perjuangan negara Islam dan hukum hudud, namun PKR mampu memujuk Pas untuk
bertolak-ansur dalam soal itu. Akhirnya Pas mengorbankan perjuangan negara
Islam dan mengubah kepada negara berkebajikan.
Paling ramai pemimpin kanan keluar
PKR juga mencatatkan sejarah sebagai sebuah parti yang
paling ramai pemimpin-pemimpin kanannya keluar parti.
Pemimpin-pemimpin bukan ahli biasa tetapi sebahagian besar
adalah kelompok yang bertanggungjawab memperjuangkan Anwar dan menubuhkan PKR.
Mereka ini juga bersedia menentang habis-habisan kerajaan BN
dan UMNO suatu ketika dulu semata-mata untuk mencapai matlamat politik PKR.
Namun akhirnya dari semasa ke semasa, bukan kata pemimpin
malahan wakil rakyat PKR juga turut meninggalkan parti itu selepas mendapati
pelbagai kepincangan dalam parti berkenaan.
Mengajar rakyat demonstrasi jalanan
Sebelum tahun 1998, demonstrasi jalanan adalah sesuatu yang
asing bagi rakyat Malaysia. Bagaimanapun bermula pada tahun tersebut,
demonstrasi jalanan seolah-olah menjadi 'senjata' baru kepada pembangkang yang
diketuai oleh PKR.
Dari semasa ke semasa sehinggalah ke hari ini, pembangkang
menjadikan pendekatan itu untuk membuat tuntutan mereka. Apa yang anehnya, DAP
dan Pas berjaya dipengaruhi oleh PKR untuk turut serta biar pun mereka
mengetahui kesan buruknya.
Kerajaan negeri pertama disaman kerana tak tunai janji
Kerajaan di bawah pimpinan PKR di Selangor menjadi kerajaan
negeri pertama di negara ini yang disaman kerana tidak menunaikan janji dalam
manifesto pilihan raya.
Keadaan ini berlaku kerana PKR sememangnya parti yang pandai
menabur janji. Inilah yang memungkinkan mereka meraih kemenangan agak besar
dalam pilihan raya umum lalu. Namun begitu apabila kejayaan sudah dicapai
segala-galanya janji hanya tinggal janji.
Pandai bercakap tetapi tiada pengetahuan
Satu 'kehebatan'
pemimpin-pemimpin PKR ialah mahu mempolitikkan segala-galanya. Ia termasuklah
juga dalam soal keselamatan negara. Ada pemimpinnya yang tidak ada pengetahuan
mahu memberi ulasan, ia akhirnya mendedahkan betapa ceteknya pemikiran beliau
dalam sesuatu perkara.
Begitu juga apabila mudah membuat tuduhan dan tohmahan tanpa
disertakan dengan bukti kerana apa yang penting ialah memburukkan kerajaan BN.
Demikian beberapa catatan mengenai 'keanehan' politik penuh
kepincangan PKR. Namun begitu seperti mana kata penganalisis politik, Ahmad
Masrizal Muhammad, PKR tidak akan bertahan lama.
Katanya, PKR bukanlah sebuah parti yang ditubuhkan atas
dasar perjuangan atau bergantung kepada 'grass root' tetapi individu.
''Mereka perlu akui, PKR bergantung kepada Anwar, kalau
Anwar tumbang maka berakhirlah riwayat politik PKR.
''Berbanding tahun 2008, kedudukan Anwar kini semakin
tergugat. Beliau semakin ditolak oleh rakyat berikutan pelbagai isu yang
melumuri diri beliau,'' katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur.
Menurut Ahmad Masrizal, pemimpin-pemimpin pembangkang lain
amat mengetahui keadaan itu sebab itulah tiada kesepakatan siapa yang bakal
menjadi Perana Menteri jika pembangkang menang dalam pilihan raya umum akan
datang.
Apa pun keadaannya adalah jelas, PKR semakin terhakis
kehebatan politik putar belitnya. Dari semasa ke semasa kepincangan parti itu
semakin terdedah dan inilah akibatnya apabila sebuah parti ditubuhkan
semata-mata mahu merebut kuasa
No comments:
Post a Comment