Monday 18 February 2013

DS @ismailsabri60 : 77 peniaga ingkar

BERA - Sepanjang Skim Kawalan Harga Musim Perayaan dijalankan sempena Tahun Baru Cina ini, sebanyak 77 kes dikesan melanggar beberapa peraturan yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah itu membabitkan satu pemborong dan 76 peruncit dengan nilai barangan yang dirampas RM7,273.35 serta jumlah kompaun yang dikenakan kepada peniaga RM9,000.

“Pada tahun ini, hanya dua kes yang melakukan kesalahan menjual lebih daripada harga siling berbanding tahun lepas enam kes. Sebanyak 70 kes didapati gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu, sementara lima kes pula, peniaga tidak mempamerkan tanda harga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Tahun Baru Cina peringkat daerah, dekat Triang, Bera, semalam.

Hadir sama, Ketua MCA Bahagian, Datuk Tang Hock Lok dan Ketua Pemuda MCA Pahang, Wong Yoke Loong.

Ismail Sabri berkata, berdasarkan statistik itu, beliau berpuas hati dengan sikap peniaga yang bekerjasama dengan pihak kementerian bagi memastikan pengguna tidak dibebani harga barangan kawalan yang terlalu tinggi.

Katanya, walaupun terdapat 75 kes apabila ada peniaga yang tidak mempamerkan tanda harga atau tidak meletakkan tanda harga berwarna merah jambu, namun mereka masih menjual mengikut harga siling yang ditetapkan.

“Saya berpuas hati dengan skim itu kerana ini menunjukkan sebahagian besar peniaga mematuhi arahan kerajaan.

“Skim ini akan diteruskan memandangkan ia memberi manfaat kepada peniaga dan pengguna, Jika tiada, peniaga akan sewenang-wenangnya menaikkan harga barang terutamanya menjelang musim perayaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment